Bina Darulaman kaut hasil RM70 juta bagi 1QFY26, kembali catat untung bersih RM1.85 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bina Darulaman kaut hasil RM70 juta bagi 1QFY26, kembali catat untung bersih RM1.85 juta

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPOUR 21 MeiBina Darulaman Berhad (BDB) memulakan tahun kewangan 2026 dengan positif apabila mencatatkan lonjakan hasil 12.3% kepada RM70 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026. 



Ia naik daripada RM62.4 juta pada tempoh sama tahun lalu, serta membolehkan kumpulan itu kembali mencatatkan keuntungan bersih RM1.85 juta, berbanding kerugian bersih RM3.55 juta sebelumnya.


Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, prestasi positif ini didorong secara signifikan oleh kemajuan projek penyelenggaraan jalan di Kedah serta kadar pengambilan unit hartanah yang lebih tinggi.


"Segmen pembinaan jalan dan kuari menyumbang utama dengan hasil naik kepada RM42.4 juta (1QFY25: RM22.5 juta), serta keuntungan sebelum cukai (PBT) yang lebih tinggi iaitu RM2.7 juta," kata BDB.


Sementara itu jelasnya lagi, segmen hartanah kembali mencatatkan keuntungan dengan PBT RM0.8 juta berbanding kerugian RM2.4 juta pada tahun lalu, dan hasil segmen meningkat kepada RM14.0 juta.


Dalam pada itu, segmen kejuruteraan dan pembinaan mencatatkan hasil RM12.1 juta, yang lebih rendah berbanding tahun lalu, namun berjaya mengecilkan kerugian sebelum cukai (LBT) kepada RM0.8 juta.


BDB menambah, segmen rekreasi pula turut mencatatkan peningkatan marginal hasil kepada RM1.6 juta, tetapi mengalami kerugian operasi sebanyak RM0.6 juta akibat peningkatan kos operasi semasa.


Mengulas mengenai prospek, ia menyatakan prestasi 1QFY26 ini merupakan platform positif kumpulan terus fokus kepada peningkatan keuntungan dan ketahanan kunci kira-kira bagi baki tahun kewangan.


"Kumpulan ini juga akan terus mengutamakan kecekapan operasi dalam segmen pembinaan jalan serta memberi penekanan lebih kepada projek perumahan dengan harga yang mampu milik," tambahnya.


Pada masa sama, BDB berhasrat melaksanakan penukaran inventori dalam segmen pembangunan hartanah bagi memastikan pertumbuhan secara mampan untuk jangka panjang. - DagangNews.com