Big Caring rancang IPO sehingga RM3 bilion, bakal jadi antara penyenaraian terbesar dekad ini - Bloomberg | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Big Caring rancang IPO sehingga RM3 bilion, bakal jadi antara penyenaraian terbesar dekad ini - Bloomberg

KUALA LUMPUR 29 Mei - Big Caring Group Bhd, rangkaian farmasi terbesar di Malaysia, dilaporkan merancang untuk mengumpul sehingga RM3 bilion melalui tawaran awam permulaan (IPO), sekali gus berpotensi menjadi antara penyenaraian terbesar di negara ini dalam tempoh sedekad.

 

Menurut sumber yang mengetahui perkara itu, syarikat berkenaan yang disokong firma ekuiti persendirian Creador Sdn Bhd menyasarkan untuk melaksanakan IPO tersebut menjelang Oktober tahun ini, namun butiran akhir masih belum dimuktamadkan.

 

Sekitar RM5.6 bilion telah berjaya dikumpulkan melalui IPO di Malaysia setakat tahun ini, dengan penyenaraian terbesar setakat ini dipacu oleh Sunway Healthcare Holdings Bhd yang meraih RM3.3 bilion pada Mac lalu selepas melaksanakan opsyen lebihan peruntukan.

 

Big Caring difahamkan menawarkan sehingga 25.5% daripada modal saham terbitannya dalam penyenaraian tersebut, selain merancang menggunakan sebahagian hasil IPO untuk mengurangkan paras hutang kumpulan.

 

Bagaimanapun, perbincangan masih berjalan dan saiz IPO serta tempoh penyenaraian berkemungkinan berubah bergantung kepada keadaan pasaran semasa, kata sumber berkenaan lapor Bloomberg.

 

Big Caring tidak memberikan sebarang komen terhadap perkembangan tersebut setakat ini.

 

Berdasarkan prospektus, Big Caring memiliki beberapa jenama farmasi termasuk Big Pharmacy dan Caring Pharmacy dengan rangkaian sebanyak 626 cawangan di seluruh Malaysia.

 

Syarikat itu turut merancang untuk membuka kira-kira 40 hingga 50 cawangan baharu setiap tahun dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang sebagai sebahagian strategi pengembangan.

 

Creador, yang mula melabur pada 2015 dan kini memegang kira-kira 34% kepentingan dalam syarikat, turut menawarkan sehingga 14.8% pegangan dalam IPO berkenaan.

 

Big Caring diasaskan oleh Lee Meng Chuan dan Lim Sin Yin, yang masing-masing masih memegang kepentingan signifikan dalam kumpulan itu. - DagangNews.com