Bermaz Auto dijangka pulih bermula suku ketiga FY26 disokong peningkatan jualan yang semakin tinggi - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bermaz Auto dijangka pulih bermula suku ketiga FY26 disokong peningkatan jualan yang semakin tinggi - RHB Research

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 12 Mac – Bermaz Auto dijangka mencatat pemulihan penuh pada tahun kewangan 2027 selepas mengalami kemerosotan keuntungan sepanjang tahun lalu yang akan memberi momentum positif kepada syarikat, kata RHB Research.

 


Firma penyelidikan itu telah menaik taraf saham Bermaz Auto daripada Neutral kepada Beli dengan harga sasaran RM0.95, menawarkan potensi kenaikan 13 peratus berbanding harga semasa RM0.84 disokong jualan Mazda 3 dan CX-60 yang meningkat serta jangkaan margin keuntungan yang lebih tinggi.

 

RHB Research berkata pemulihan dijangka bermula pada suku ketiga tahun kewangan 2026, disokong oleh peningkatan jualan Mazda 3 serta CX-60 dibantu pengukuhan Ringgit Malaysia yang akan menaikkan keuntungan syarikat.

 

“Pada suku kedua FY26, Mazda 3 dan CX-60 menyumbang kira-kira 60 peratus daripada jumlah jualan Mazda. Model CX-5 pula menyumbang 40 peratus jualan pada FY25, menunjukkan kepentingannya kepada syarikat.

 

“Tempahan Mazda 3 stabil antara 1,500 hingga 2,000 unit sebulan. Penghantaran semasa adalah 300 hingga 500 unit, menunjukkan baki tempahan yang memberangsangkan dan memberi keyakinan terhadap jualan masa depan,” kata RHB Research dalam nota kajiannya.

 

Model CX-5 facelift dijangka dilancarkan pada Julai depan dengan harga di bawah RM170,000. Syarikat juga merancang versi pemasangan tempatan CX-5 dan satu model baharu yang masih belum diumumkan.

 

Bermaz Auto menghentikan edaran kenderaan Kia mulai 1 Januari 2026. Walaupun terdapat kerugian jangka pendek, langkah ini dijangka menjimatkan kos dan menyokong keuntungan FY27.

 

RHB Research berkata sekitar 30 hingga 40 peratus jualan syarikat datang daripada model import sepenuhnya dan setiap peningkatan 1 peratus Ringgit Malaysia dijangka menaikkan keuntungan syarikat sebanyak 3 hingga 4 peratus.

 

“Keuntungan bersih dijangka meningkat 65 peratus berbanding tahun kewangan sebelumnya. Ini dijangka mengembalikan keuntungan ke tahap  yang kukuh seperti tahun-tahun sebelum ini iaitu lebih RM100 juta, manakala dividen FY27 sekitar 8 peratus,” katanya.

 

Bermaz Auto juga terlibat dalam projek Xpeng CKD melalui kerjasama dengan EP Manufacturing. Pengeluaran model SUV G6 dan MPV X9 dijangka bermula 31 Mac dan 25 Mei, manakala kapasiti kilang dijangka siap sepenuhnya pada suku pertama FY28.

 

RHB Research berkata antara risiko utama yang perlu diberi perhatian termasuk tempahan atau penghantaran kenderaan lebih rendah daripada jangkaan, persaingan sengit dalam pasaran, dan pergerakan kadar pertukaran asing yang tidak menguntungkan. - DagangNews.com