Berjaya raih kontrak parkir MBJB, Maybank IB naikkan unjuran pendapatan ITMax FY26-FY28 sebanyak 5% hingga 6% | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Berjaya raih kontrak parkir MBJB, Maybank IB naikkan unjuran pendapatan ITMax FY26-FY28 sebanyak 5% hingga 6%

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 17 Mac - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menaikkan unjuran pendapatan ITMax System Berhad bagi tahun kewangan 2026 hingga 2028 sebanyak antara 5% hingga 6% selepas mengambil kira sumbangan daripada pelantikan sebagai pengendali sistem parkir pintar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) selama 15 tahun.

 

Semakan tersebut dibuat berikutan jangkaan peningkatan hasil daripada projek yang bakal dilaksanakan bermula 1 Mei 2026, sekali gus menyokong prospek pertumbuhan kumpulan dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

 

Firma penyelidikan itu berkata, seiring dengan semakan unjuran pendapatan itu, harga sasaran saham ITMax turut dinaikkan kepada RM5.83 berbanding RM5.67 sebelum ini.

 

Penilaian tersebut dibuat berasaskan model aliran tunai terdiskaun (DCF) dengan kos modal purata wajaran (WACC) sebanyak 7.0% serta kadar pertumbuhan jangka panjang (LTG) sebanyak 3%.

 

Maybank IB turut mengekalkan saranan “Beli” terhadap saham ITMax berikutan asas perniagaan yang kukuh serta potensi pertumbuhan dalam segmen teknologi bandar pintar.

 

Namun begitu, beberapa risiko utama yang dikenal pasti termasuk kemungkinan kontrak tidak diperbaharui, lebihan kos pelaksanaan projek serta kelewatan operasi yang boleh menjejaskan prestasi kewangan syarikat.

 

Kuasai Separuh Majlis Tempatan Johor

Sementara itu pelantikan sebagai pengendali sistem parkir pintar di kawasan MBJB merupakan kontrak parkir pintar kelapan ITMax di Johor, sekali gus meluaskan liputan perkhidmatan syarikat itu kepada separuh daripada 16 majlis tempatan di negeri berkenaan.

 

Maybank IB melihat perkembangan tersebut sebagai positif kerana ia mengukuhkan lagi keupayaan operasi ITMax di samping memperkukuh kedudukan syarikat dalam pasaran wilayah selatan.

 

Perjanjian tersebut dilaksanakan menerusi model perkongsian hasil, di mana anak syarikat ITMax, Southmax Sdn Bhd akan menerima 70% daripada kutipan bayaran parkir yang dibuat melalui platform pembayaran dan tempahan milik ITMAX, Parkmax.

 

Menurut pengurusan syarikat, kawasan MBJB dianggarkan mempunyai kira-kira 70,000 petak parkir, yang berpotensi menjana tambahan hasil sekitar RM17 juta setahun kepada ITMax.

 

Pelaksanaan sistem berasaskan teknologi itu dijangka meningkatkan kecekapan penguatkuasaan, mengoptimumkan kadar kutipan parkir serta menyediakan pengalaman yang lebih lancar kepada pengguna awam. - DagangNews.com