KUALA LUMPUR 25 Mei – Berjaya Food Berhad terus mencatat kerugian bagi suku ke-10 berturut-turut apabila kos operasi yang tinggi masih memberi tekanan kepada prestasi kewangan kumpulan itu bagi suku ketiga berakhir 31 Mac 2026.
Pengendali rangkaian kopi Starbucks di Malaysia itu merekodkan kerugian bersih sebanyak RM14.32 juta bagi tempoh tiga bulan tersebut berbanding kerugian RM37.19 juta yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lalu.
Bagaimanapun, kerugian yang lebih kecil itu menunjukkan tanda pemulihan susulan langkah kawalan kos dan penutupan cawangan yang kurang menguntungkan sejak beberapa suku lalu.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Berjaya Food berkata hasil kumpulan meningkat 4.9% kepada RM119.14 juta berbanding RM113.57 juta sebelumnya, didorong terutamanya oleh sumbangan operasi luar negara.
“Kumpulan menjangkakan prestasi operasi dan kewangan akan terus kukuh disokong oleh pelbagai inisiatif pemasaran dan promosi yang dilaksanakan secara berterusan.
“Selain itu, syarikat turut meneruskan usaha rasionalisasi kedai dengan menutup outlet yang tidak mencatat prestasi memberangsangkan termasuk beberapa cawangan Starbucks dan Kenny Rogers Roasters di Malaysia,” katanya.
Kumpulan itu juga memberi tumpuan kepada inisiatif pendigitalan bagi meningkatkan pengalaman pelanggan menerusi platform dalam talian dan operasi di premis, selain memperkukuh kecekapan operasi semasa.
Dalam masa sama, Berjaya Food terus mengembangkan operasi di luar negara serta memperkukuh jenama lain di bawah portfolionya seperti Paris Baguette dan Krispy Kreme bagi mengurangkan kebergantungan terhadap Starbucks sebagai penyumbang utama pendapatan.
Bagi tempoh sembilan bulan tahun kewangan semasa, kerugian bersih kumpulan mengecil kepada RM41.1 juta berbanding RM106.2 juta pada tempoh sama tahun lalu, manakala hasil meningkat 3.55% kepada RM373.68 juta.
Syarikat itu tidak mengumumkan sebarang dividen pada suku ini. - DagangNews.com








