Belanjawan 2026 memperuntukkan sejumlah RM470 bilion secara keseluruhan, tertinggi berbanding sebelum ini | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Belanjawan 2026 memperuntukkan sejumlah RM470 bilion secara keseluruhan, tertinggi berbanding sebelum ini

Gambar: Bernama
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Okt - Belanjawan 2026 Malaysia MADANI yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyaksikan RM470 bilion diperuntukan secara keseluruhan, tertinggi dalam sejarah berbanding RM452 bilion pada tahun lalu.

 

Beliau berkata, jumlah itu meliputi RM338.2 bilion untuk belanja mengurus (OE) persekutuan, RM81 bilion belanja pembangunan (DE) persekutuan dan RM30 bilion pelaburan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

 

Katanya, sejumlah RM10 bilion bagi pelaburan awam-swasta dan RM10.8 bilion pelaburan Badan Berkanun Persekutuan dan syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD). 

 

Perdana Menteri berkata, lantaran komitmen Kerajaan MADANI memaknai tatakelola, maka diperkenalkan Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA) dan kini ditambah Rang Undang-Undang (RUU) Perolehan Kerajaan yang sebenarnya mengikat kuasa Menteri Kewangan kerana masih boleh didakwa dan dipantau oleh tribunal. 

 

"Di bawah MADANI, kami tekal menurunkan defisit fiskal: daripada 5.5 peratus (2022); 5 peratus (2023); 4.1 peratus (2024) dan bertekad mencapai 3.8 peratus (2025). Insya-Allah, tahun 2026 akan menurun lagi kepada 3.5 peratus," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

 

Perdana Menteri berkata, penurunan defisit bermakna jumlah hutang baharu turun dan terkawal: daripada RM100 bilion (2022); RM92 bilion (2023); RM77 bilion (2024), sekitar RM77 bilion ringgit (2025) dan diusahakan untuk turun lagi tahun ini. 

 

Beliau berkata, deengan disiplin berterusan, defisit fiskal 3 peratus mampu dicapai dalam jangka sederhana. 

 

"Pada tahun hadapan, kutipan hasil Kerajaan Persekutuan dianggarkan meningkat kepada RM343.1 bilion berbanding RM334.1 bilion,unjuran tahun ini. 

 

Beliau berkata, apabila diperlukan perbelanjaan tambahan untuk prasarana dan bantuan rakyat, akan dikenakan cukai tambahan tetapi kerajaan memilih untuk membaiki tatakelola, termasuk penyasaran subsidi tanpa menambah beban rakyat. 

 

Katanya, dengan menggunakan kaedah sedemikian, kerajaan berjaya melaksana langkah pembanterasan rasuah, mengekang penyeludupan serta memecah tembok dan melumpuhkan kartel.- DagangNews.com