KUALA LUMPUR 5 Nov - Bekas pengerusi Systech Bhd, Datuk Chan Soon Tat, telah menjadi pemegang saham utama dengan pegangan sebanyak 5.68% selepas membeli 10 juta saham pada 28 Oktober, menurut pemfailan kepada Bursa Malaysia.
Perkara ini berlaku selepas syarikat itu, dalam satu pemfailan berasingan kepada Bursa Malaysia, memaklumkan bahawa ia telah memperoleh kontrak selama dua tahun dengan Tujuh Warisan Sdn Bhd untuk menyediakan perkhidmatan graphic processing unit (GPU)-as-a-service, kecerdasan buatan (AI) dan infrastruktur Internet Pelbagai Benda (IoT) melalui anak syarikatnya, Systech Digital Solutions.
Perjanjian tersebut, yang berkuat kuasa pada 31 Oktober, merangkumi penubuhan infrastruktur AI dan GPU berprestasi tinggi, dengan pembaharuan automatik selama setahun kecuali jika mana-mana pihak memilih untuk menamatkannya. Bayaran perlu dibuat dalam tempoh tujuh hari selepas invois dikeluarkan.
Nilai kontrak tersebut tidak didedahkan.
Peningkatan pegangan Chan berlaku selepas bekas pengarah urusan Datuk Hooi Jia Hao mengurangkan pegangannya di bawah 5% selepas menjual 26 juta saham pada 24 Oktober.
Syarikat pelaburan Hooi, Smartpro Capital Bhd, sebelum ini telah menjual baki pegangan sebanyak 4.19%. Setakat 30 Julai 2025, Smartpro merupakan pemegang saham terbesar syarikat itu dengan 27.48%.
ARTIKEL BERKAITAN: Azizulhasni muncul pemegang saham terbesar syarikat teknologi digital, Systech
Pada masa ini, pengerusi eksekutif Datuk Ong Theng Soon merupakan pemegang saham terbesar (2.6% secara langsung, 10.88% secara tidak langsung melalui isterinya, Liew Su-Wen), manakala pengarah eksekutif Low Min Yew memegang 5.1% secara langsung dan 5.3% secara tidak langsung melalui LMY Holdings Sdn Bhd.
Pemegang saham utama lain termasuk Lim Ying Ran, Goh Yit Fong dan Datuk Mohd Azizulhasni Awang melalui LMY Holdings. LMY Holdings menjadi pemegang saham utama dengan kepentingan sebanyak 5.277% pada 17 Oktober. - DagangNews.com








