KUALA LUMPUR 22 Okt - Pemenang dua pingat Sukan Olimpik, Datuk Mohd Azizulhasni Awang muncul sebagai pemegang saham terbesar syarikat teknologi digital yang dikuasakan kecerdasan buatan (AI), Systech Berhad.
Kemasukan "The Pocket Rocketman" ke dalam syarikat itu juga menandakan penyertaannya ke dalam ruang digital dan teknologi Malaysia, memperluaskan jejak keusahawanannya mengatasi dunia sukan berbasikal.
"Keputusan saya untuk melabur dalam Systech dipandu oleh asas kukuh syarikat, kepimpinan berwawasan dan komitmen terhadap inovasi.
"Saya percaya nilai yang sama yang memacu kecemerlangan dalam sukan – disiplin, strategi dan penambahbaikan berterusan – adalah asas kepada kejayaan ekonomi digital masa depan dan teknologi digital," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau juga berkata, tumpuan syarikat terhadap digital, platform berasaskan awan dan pengembangan serantau adalah sejajar dengan kepercayaannya beliau dalam membina nilai jangka panjang dan daya saing global.
Pengarah Eksekutif Systech, Lim Ying Ran berkata, sebagai usahawan dalam dunia sukan, Azizulhasni yakin disiplin dan minda strategik yang dibangunkan melalui sukan elit dapat diterjemahkan dengan berkesan kepada kejayaan perniagaan.
"Pelaburan Azizulhasni dalam Systech bukan sahaja mewakili pencapaian peribadi tetapi juga komitmennya untuk menyokong inovasi dan keusahawanan Malaysia," katanya.

Melalui LMY Holdings Sdn Bhd, Azizulhasni memperoleh 34.69 juta saham biasa atau 5.27% daripada jumlah modal saham terbitan Systech.
Selain itu, Aspiration Partners PLT di mana beliau merupakan antara tiga ahli pengasas juga telah menjadi pemegang saham yang besar melalui kepentingan tidak langsung dalam blok saham yang sama.
Secara berasingan, beliau memegang kepentingan peribadi secara langsung dalam 30,000 saham Systech. - DagangNews.com








