Bekas pengarah urusan saman Handal Energy berhubung dakwaan hutang tertunggak RM3.1 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bekas pengarah urusan saman Handal Energy berhubung dakwaan hutang tertunggak RM3.1 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Julai - Handal Energy Berhad berdepan tindakan saman daripada sebuah firma yang dikawal bekas pengarah urusan dan pemegang saham utama kumpulan, Sunildeep Singh Dhaliwal berhubung dakawaan hutang tertunggak sebanyak RM3.1 juta.

 

Firma tersebut, Seaoffshore Capital Sdn Bhd, mendakwa jumlah terhutang setakat 30 Mei 2025 dan merupakan pinjaman yang diberikan bagi membiayai modal kerja dan operasi Handal.

 

“Plaintif (Seaoffshore Capital) mendakwa defendan (Handal) gagal dan/atau cuai untuk membuat sebarang bayaran balik terhadap jumlah tertunggak kepada plaintif.

 

“Selepas mendapatkan nasihat undang-undang, syarikat telah dinasihatkan, mereka mempunyai pembelaan kukuh terhadap tuntutan plaintif," kata Handal dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Handal tidak menjangkakan sebarang impak kewangan atau operasi terhadap kumpulan itu, selain daripada jumlah yang dituntut dan kos guaman.

 

Sebelum ini, satu lagi entiti yang dikaitkan dengan Sunildeep, Seaoffshore Shared Sdn Bhd, telah memfailkan saman berasingan terhadap Handal pada Ogos 2024, menuntut sebanyak RM9.58 juta bagi perkhidmatan pengurusan yang didakwa belum dibayar. - DagangNews.com