KUALA LUMPUR 17 Mac – Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) mengumumkan pelantikan Profesor Datuk Ts. Ir. Dr. Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib sebagai Presiden ketiga badan profesional tersebut, berkuat kuasa 17 Mac 2026.
Pelantikan itu dibuat bagi menggantikan Professor Emeritus Datuk Ts. Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir yang memegang jawatan tersebut sejak 17 Mac 2021 hingga 16 Mac 2026.
Kerajaan melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyifatkan pelantikan ini sebagai bukti keyakinan terhadap kepimpinan dan pengalaman beliau dalam memacu pembangunan sektor teknologi dan teknikal negara.
MBOT menjangkakan kepimpinan baharu ini akan memperkukuh peranan institusi dalam pembangunan bakat dan pengiktirafan profesional di bidang teknikal.
Mohamed Ibrahim mempunyai latar belakang akademik yang luas dalam kejuruteraan kimia dan teknologi proses.
Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia (Kepujian) daripada University of New South Wales, Australia sebelum melanjutkan pengajian di University of Manchester Institute of Science and Technology (UMIST), United Kingdom, dan seterusnya meraih Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah dalam bidang Process Integration.
Kerjaya akademiknya bermula sebagai pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia sebelum menyertai Universiti Teknologi PETRONAS pada 1997.
Sepanjang tempoh berkhidmat di universiti itu, beliau memegang pelbagai jawatan kepimpinan termasuk Pengarah Penyelidikan dan Perundingan, Dekan Fakulti Kejuruteraan, serta Timbalan Naib Canselor (Akademik).
Beliau kemudiannya dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Teknologi PETRONAS dari 2018 hingga 2025, memainkan peranan penting dalam memperkukuh kecemerlangan akademik dan reputasi global institusi itu.
Kepimpinan beliau di universiti turut menekankan pembangunan teknologi, inovasi dan penyelidikan yang relevan dengan industri.
Sebelum pelantikan sebagai Presiden MBOT, beliau juga berkhidmat sebagai anggota Lembaga MBOT, menyumbang kepada pembangunan dan pemerkasaan profesion teknologis serta juruteknik di Malaysia.
Penglibatan beliau dalam lembaga ini diharapkan dapat membawa perspektif strategik dan kepakaran teknikal yang kukuh.
MBOT, ditubuhkan di bawah Akta Teknologis dan Juruteknik 2015 [Akta 768], berperanan sebagai badan profesional untuk memberikan pengiktirafan kepada teknologis dan juruteknik.
Institusi ini menjadi platform penting bagi memastikan standard profesionalisme dan kualiti kompetensi dalam sektor teknologi dan teknikal dipertingkatkan. - DagangNews.com








