Bekas MD KPMG, Johan Idris dilantik sebagai pengerusi Maxis mulai 1 Mac 2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bekas MD KPMG, Johan Idris dilantik sebagai pengerusi Maxis mulai 1 Mac 2025

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 14 Feb - Maxis Bhd mengumumkan pelantikan Datuk Johan Idris sebagai Pengerusi berkuat kuasa 1 Mac 2025.

 

Johan sebelum ini telah memegang jawatan Rakan Kongsi Pengurusan KPMG di Malaysia, ahli Lembaga KPMG Asia Pasifik, ahli Majlis Global KPMG Antarabangsa dan Presiden Institut Akauntan Malaysia.

 

Beliau kini berkhidmat sebagai Pengerusi (Bukan Eksekutif) KPMG di Malaysia, ahli Lembaga Korporasi Dana Pampasan Pasaran Modal Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, ahli Lembaga Universiti Kebangsaan Malaysia, ahli Senat dan Lembaga Pemegang Amanah Pusat Antarabangsa Pendidikan Kewangan Islam, yang ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia, serta ahli Majlis Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia. 

 

Beliau yang juga mempunyai lebih daripada 35 tahun pengalaman bekerja itu mempunyai rekod kepimpinan yang terbukti dan pengalaman luas dalam pelbagai industry tempatan dan antarabangsa.

 

Dalam pada itu, Maxis merakamkan penghargaan kepada Datuk Hamidah Naziadin atas manfaat besar daripada kepimpinan beliau sebagai Pengerusi Interim sejak 1 Julai 2024. 

 

Hamidah akan meneruskan peranan beliau sebagai Pengarah Bukan Eksekutif Bebas.

 

Sebagai Pengerusi Maxis yang baharu, Johan berharap dapat menerajui peranan lembaga dalam memacu perniagaan teras Maxis dalam bidang mudah alih, kediaman dan perusahaan sebagai syarikat telekomunikasi bersepadu terkemuka di Malaysia.

 

"Ini kerana nilai-nilai Maxis adalah selaras dengan aspirasi digital negara, dengan kepentingan rakyat sebagai keutamaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Hamidah pula menzahirkan penghargaan kepada pihak lembaga dan pengurusan atas sokongannya sepanjang tempoh peralihan ini.

 

"Saya percaya visi strategik dan pengalaman luas Datuk Johan akan memainkan peranan penting dalam memacu Maxis ke tahap yang lebih tinggi,” katanya. - DagangNews.com