KUALA LUMPUR 19 Mac – Pemegang saham mengekalkan bekas Akauntan Negara, Datuk Dr Yacob Mustafa sebagai pengarah pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-24 Hong Seng Consolidated Berhad.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat tersebut memaklumkan Resolusi 4 bagi pemilihan semula beliau diterima majoriti besar melibatkan 31 pemegang saham mewakili 99.9781% undian.
Pemegang Ijazah Perakaunan dari Universiti Malaya yang berpengalaman luas lebih 30 tahun dalam pelbagai jawatan di jabatan kerajaan itu pernah berkhidmat sebagai Akauntan Negara dari 2019 hingga 2023.
Beliau pernah menjadi Pengarah Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA), Perbadanan Insurans Deposit Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negara, dan Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan.
"Keputusan pengundian pada AGM tersebut yang diadakan di Petaling Jaya, Selangor pada 18 Mac 2026 telah disahkan oleh Quantegic Services Sdn Bhd selaku pemeriksa bebas dilanti," kata kumpulan itu.
Secara keseluruhan jelas Hong Seng Consolidated, semua sembilan resolusi biasa yang dibentangkan pada AGM tersebut berjaya diluluskan dengan majoriti melalui proses pengundian pemegang saham.
Antara resolusi utama yang dipersetujui ialah usul pembayaran fi dan manfaat pengarah sehingga RM450,000, selain pemilihan semula beberapa pengarah lain termasuk Datuk Kang Chez Chiang.
Selain itu, pemegang saham turut meluluskan pelantikan semula firma Morison LC PLT sebagai juruaudit syarikat serta pemberian mandat kepada lembaga pengarah untuk menerbitkan saham baharu.
Hong Seng Consolidated turut memaklumkan penyata kewangan teraudit bagi tempoh berakhir 30 September 2025 telah dibentangkan dan diterima pada mesyuarat tahunan tersebut. - DagangNews.com








