Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Khairul Azwan Harun dipilih semula sebagai Pengarah VSolar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Khairul Azwan Harun dipilih semula sebagai Pengarah VSolar

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 11 MacKhairul Azwan Harun dipilih semula sebagai Pengarah VSolar Group Berhad selepas pemegang saham meluluskan usul pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-22 semalam.


Resolusi bagi memilih kembali beliau yang bersara mengikut Klausa 134 Perlembagaan syarikat itu diluluskan sebulat suara menerusi pengundian, dengan 249.71 juta saham atau 100% sokongan.


Khairul Azwan, 49, yang juga Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif VSolar, mempunyai latar belakang luas dalam bidang korporat dan politik tanah air, termasuk pernah berkhidmat sebagai Senator di Dewan Negara.


"AGM diadakan di Petaling Jaya, Selangor dengan keputusan pengundian melibatkan enam resolusi biasa disahkan oleh firma bebas, Scrutineer Share Polls Sdn Bhd," maklum VSolar kepada Bursa Malaysia. 


Selain itu, Khairul Azwan, pernah memegang beberapa jawatan penting dalam UMNO termasuk sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, dan Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak.


Dari segi profesional, beliau pernah berkhidmat di firma perakaunan antarabangsa Ernst & Young sebelum menubuhkan firma perunding strategik sendiri serta terlibat dalam beberapa syarikat.


Di samping itu, graduan Ijazah Sarjana Pengurusan di Open University Malaysia itu pernah mengikuti kursus kepimpinan global di Harvard Kennedy School of Government, Amerika Syarikat (AS).


"Khairul Azwan turut pernah dilantik sebagai Pengerusi Halal Development Corporation Berhad (HDC) di Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dari 2023 sehingga 2025," katanya.


Dalam makluman yang sama, VSolar turut memaklumkan semua resolusi lain yang dibentangkan pada AGM tersebut diluluskan para pemegang saham, antaranya pembayaran yuran pengarah sehingga RM340,000.


Mereka juga meluluskan pelantikan semula SBY Partners PLT sebagai juruaudit syarikat bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2026 serta lembaga pengarah diberi kuasa menetapkan imbuhan.


Pada masa sama, resolusi bagi memberi kuasa kepada pengarah untuk memperuntukkan dan menerbitkan saham menurut Seksyen 75 dan 76 di bawah Akta Syarikat 2016 turut diluluskan. - DagangNews.com