KUALA LUMPUR 24 Mac — Isu kekurangan bekalan bahan api yang tular di beberapa lokasi disifatkan hanya berpunca daripada gangguan logistik sementara, dan bukannya krisis bekalan sebenar.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali mengesahkan, bekalan petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) di seluruh negara ketika ini adalah mencukupi.
Menurut beliau, masalah gangguan yang berlaku itu hanyalah kelewatan penghantaran selama beberapa jam di lokasi tertentu, khususnya ketika musim perayaan apabila permintaan meningkat ketara.
“Isu ini sudah ditangani dan pemantauan berterusan dilakukan bagi memastikan kelancaran bekalan,” katanya selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Armizan turut menafikan dakwaan kekurangan bekalan di beberapa stesen minyak di Sabah, sambil menegaskan keadaan di Malaysia masih lebih stabil berbanding beberapa negara lain di rantau ini.
Sehubungan itu tegas beliau, orang ramai diingatkan supaya tidak melakukan sebarang pembelian panik kerana bekalan bahan api sebenarnya adalah mencukupi dan masih stabil di pasaran tempatan.
Beliau turut memberi amaran yang penjualan atau pengisian bahan api di luar tangki kenderaan tanpa permit khas merupakan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan peraturan berkaitan.
“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tidak akan berkompromi dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan,” tambah Armizan.
Selain itu, beliau mengesahkan Jawatankuasa Penyelarasan Penguatkuasaan Antara Agensi diaktifkan bagi membanteras ketirisan dan penyeludupan minyak, khususnya di kawasan sempadan termasuk Sabah.
Kata beliau, risiko ketirisan didapati meningkat susulan konflik rantau Asia Barat serta jurang harga besar antara bahan api bersubsidi dalam negara dan harga pasaran di negara-negara jiran.
Sementara itu, Hajiji menekankan kepentingan bekalan bahan api yang konsisten bagi menyokong aktiviti ekonomi seperti sektor logistik, perikanan dan pertanian yang bergantung diesel. - DagangNews.com








