Bank Islam, RELDYN bekerjasama tawar rumusan teknologi kewangan patuh syariah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bank Islam, RELDYN bekerjasama tawar rumusan teknologi kewangan patuh syariah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Feb - BIMB Holdings Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) memeterai perjanjian kerjasama strategik dengan RELDYN Tech Sdn Bhd (RELDYN) untuk menubuhkan syarikat teknologi kewangan, FINODYN Sdn Bhd (FINDOYN).

 

Dalam satu kenyataan bersama, kedua-dua pihak berkata, FINODYN akan memajukan landskap kewangan digital patuh syariah dengan menawarkan platform teknologi kewangan, perisian dan perkhidmatan yang canggih kepada pasaran.

 

BIMB akan mempunyai 40% kepentingan dalam usaha sama itu, manakala RELDYN akan memiliki 60% kepentingan mengawal.

 

 

FINODYN akan mengguna pakai model B2B (perniagaan-ke-perniagaan), memberi fokus kepada penyampaian platform kewangan dan perbankan yang menawarkan rumsan kewangan, perundingan, penyelenggaraan dan perkhidmatan sokongan patuh syariah kepada pelbagai perniagaan dan organisasi.

 

Dengan memanfaatkan gabungan kepakaran dan inovasi kedua-dua syarikat, FINODYN komited untuk menyampaikan platform yang menawarkan rumusan kewangan patuh syariah selaras dengan prinsip kewangan Islam bagi memastikan tawaran kewangan yang beretika dan bertanggungjawab.

 

Platform sedia untuk digunakan, direka untuk pelaksanaan yang lancar dengan penyesuaian minimum, memastikan masa yang lebih cepat untuk memasarkan selain pembangunan cekap kos dengan proses diperkemas untuk mengoptimumkan masa serta sumber sambil memacu inovasi berterusan.

 

Usaha itu sejajar dengan pelan hala tuju pertumbuhan lima tahun Bank Islam, LEAP25, yang menekankan transformasi digital sebagai pemacu kemampanan jangka panjang.

 

Ketua Pegawai Digital Kumpulan Bank Islam, Noor Farilla Abdullah berkata, penubuhan FINODYN mewakili kerjasama simbiotik, membolehkan Bank Islam, melalui BIMB Holdings dan RELDYN, memanfaatkan kekuatan masing-masing dalam memacu pertumbuhan mampan dan nilai bersama.

 

"Kami optimis perkongsian ini akan mempercepatkan pengembangan dan kemajuan bidang kewangan digital Islam sambil menyampaikan rumsan patuh syariah jangka panjang yang memperkasakan pasaran.

 

Perkongsian strategik itu membolehkan Bank Islam menawarkan Perbankan Islam sebagai Perkhidmatan (iBaaS), satu langkah ke hadapan dalam penyampaian rumusan kewangan yang inovatif merentas pelbagai pasaran. 

 

Usahasama itu akan dilaksanakan dalam tiga fasa strategik. Fasa awal, yang menjangkau sehingga dua tahun, akan memberi tumpuan kepada pembangunan produk dan infrastruktur dan diikuti dengan fasa jualan yang dipercepatkan untuk memacu penembusan pasaran.

 

"Dengan menggabungkan rumusan awan inovatif dengan kepakaran perbankan Bank Islam, kami menumpukan kepada menyampaikan pengalaman pelanggan yang unggul, memacu transformasi digital, dan mewujudkan landskap perkhidmatan kewangan yang lebih tangkas, selamat dan mengutamakan pelanggan," kata Ketua Pegawai Eksekutif RELDYN JayaPrasad Rao Ethamukkala.- DagangNews.com