KUALA LUMPUR 21 Feb — Bank Islam Malaysia Berhad menerima Anugerah Berprestij Islamic Finance News (IFN) sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan cemerlang institusi tersebut dalam industri kewangan Islam di negara ini sejak ditubuhkan pada 1983.
Menurut kenyataan bank berkenaan, penganugerahan tersebut sebagai menunjukkan hasil inovasi, daya tahan dan kecemerlangan dalam kewangan Islam, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan imej Bank Islam sebagai peneraju perbankan yang patuh Syariah.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Muazzam Mohamed berkata, pencapaian ini mencerminkan komitmen bank itu bagi menyediakan penyelesaian kewangan berinovasi, beretika dan bertanggungjawab berdasarkan prinsip Syariah selain memenuhi keperluan pelanggan.
“Saya mewakili barisan pengurusan, mengucapkan terima kasih kepada pasukan Bank Islam kerana bertungkus lumus membangunkan penyelesaian perbankan berteraskan ajaran Islam dengan inovatif dan relevan kepada permintaan pasaran yang semakin berkembang luas.
"Sebagai tanda penghargaan atas sokongan dan kepercayaan yang tidak berbelah bahagi daripada semua pelanggan, kami akan terus menerapkan strategi dan teknologi baharu untuk menawarkan perkhidmatan yang lebih baik lagi pada masa depan.” tambah beliau.
Bank Islam ujarnya, sebagai peneraju sektor perbankan Islam di Malaysia sejak lebih 40 tahun lalu, sentiasa komited dalam memacu inovasi dan pendigitalan bagi meningkatkan pengalaman perbankan yang lebih cekap, cukup inklusif dan mesra pelanggan.
Pengiktirafan tertinggi IFN yang merupakan penyedia berita kewangan Islam ternama di dunia juga kata Muazzam, menyemarakkan usaha Bank Islam untuk terus mengukuhkan ekosistem kewangan Islam, selain memastikan kemampanan dan kesediaan masa hadapan.
Ketua Pegawai Operasi yang juga Ketua Pegawai Kemampanan Kumpulan Bank Islam, Mohamed Iran Moriff Mohd Shariff telah mewakili Bank untuk menerima anugerah tersebut dalam satu majlis yang berlangsung di Hotel EQ, Kuala Lumpur semalam. - DagangNews.com








