Bank-bank laksana cukai 8% ke atas perkhidmatan kewangan berkaitan mulai 1 Julai ini | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bank-bank laksana cukai 8% ke atas perkhidmatan kewangan berkaitan mulai 1 Julai ini

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 26 Jun – Anggota Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) akan mula melaksanakan cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan kewangan berkaitan secara berperingkat mulai 1 Julai 2025, selaras dengan garis panduan dikeluarkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

 

Cukai perkhidmatan akan dikenakan pada kadar 8% ke atas perkhidmatan kewangan yang dikenakan yuran dan komisen.

 

Langkah itu susulan pewartaan perundangan terkini berhubung peluasan skop cukai perkhidmatan, menurut kenyataan bersama ABM, Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dan Persatuan Perbankan Pelaburan Malaysia (MIBA).

 

 

 

 

 

Ketiga-tiga persatuan itu menjelaskan pelaksanaan cukai berkenaan akan mengikut perundangan dan garis panduan yang diwartakan atau dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan dan JKDM.

 

Pelanggan diberi jaminan beberapa pengecualian akan terus diberikan, termasuk ke atas perkhidmatan perbankan asas seperti caj akaun semasa dan simpanan bagi perbankan konvensional dan Islam.

 

Untuk maklumat lanjut, orang ramai dinasihatkan merujuk dahulu kenyataan daripada bank masing-masing yang akan disiarkan melalui saluran rasmi institusi berkenaan.- DagangNews.com