KUALA LUMPUR 20 Jun - Syarikat teknologi China, Baidu Inc, merancang untuk melancarkan perkhidmatan teksi tanpa pemandu Apollo Go di Malaysia dan Singapura seawal tahun ini.
Menurut sumber, Baidu kini sedang berbincang dengan beberapa pihak untuk mencari model perniagaan yang paling sesuai di kedua-dua negara.
"Setakat ini, pihak Baidu masih belum memberi sebarang maklum balas rasmi berhubung perkara tersebut," lapor Bloomberg yang memetik sumber berkenaan.
Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Baidu, Robin Li, memaklumkan syarikatnya sedang mencari rakan kerjasama seperti penyedia perkhidmatan pengangkutan, syarikat teksi tempatan dan pengendali kenderaan pihak ketiga bagi menguruskan operasi yang dirancang selain menjimatkan kos.
Langkah itu diambil ketika syarikat gergasi lain seperti Tesla Inc turut bersedia melancarkan rangkaian teksi tanpa pemandu, Cybercab dalam masa terdekat.
Ketua Eksekutif Tesla, Elon Musk, meletakkan masa depan pertumbuhan syarikatnya pada teknologi pemanduan autonomi.
Selain itu, beberapa syarikat pengangkutan teksi pintar dari China seperti Apollo Go, Weride Inc dan Pony AI Inc juga sedang mengembangkan operasi masing-masing ke pasaran antarabangsa termasuk Asia Barat, Eropah dan Asia Tenggara.
Sehingga suku pertama tahun ini, Apollo Go mencatat lebih 11 juta perjalanan menggunakan lebih 1,000 kenderaan tanpa pemandu, kebanyakannya di China.
Jumlah tersebut melebihi pencapaian Waymo milik Alphabet Inc, yang merekodkan 10 juta perjalanan berbayar sehingga 23 Mei lalu.
Apollo Go juga dilaporkan sedang meneroka pasaran Eropah dan Turki, termasuk berbincang dengan PostAuto, iaitu unit pengangkutan Swiss Post, bagi menawarkan perkhidmatan teksi tanpa pemandu di Switzerland. - DagangNews.com








