Bahagian peralatan ujian automatik Pentamaster dijangka kekal lemah pada separuh pertama 2025 kesan ketidakstabilan pasaran - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bahagian peralatan ujian automatik Pentamaster dijangka kekal lemah pada separuh pertama 2025 kesan ketidakstabilan pasaran - RHB Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Feb - Bahagian peralatan ujian automatik (ATE) Pentamaster Corp Bhd berkemungkinan besar kekal lemah pada separuh pertama 2025 kesan ketidakstabilan pasaran dalam segmen semikonduktor dan automotif.

 

RHB Research berkata, kumpulan itu bagaimanapun kekal optimis terhadap pertumbuhan jangka panjang didorong kepelbagaian portfolionya dan pengembangan strategik ke dalam pembungkusan termaju dengan fokus kepada ujian teknologi canggih untuk substrat 2.5D.

 

Katanya, kumpulan itu juga menjangkakan segmen rumusan automasi kilang (FAS) akan mengukuhkan peranannya sebagai pemacu utama pertumbuhan jangka panjang, didorong kemajuan teknologi, penggunaan automasi perindustrian yang semakin meningkat merentas sektor.

 

"Buku pesanan semasa kumpulan berjumlah RM400 juta, dengan pecahan 33% perubatan, 24% automotif, 16% semikonduktor, 12% elektrooptik, dan 14% pengguna dan industri produk," katanya dalam satu nota kajian.

 

Terdahulu, untung bersih kumpulan itu pada 4QFY24 susut 31.6% kepada RM14.16 juta daripada RM20.7 juta, disebabkan permintaan yang lebih lemah dalam segmen ATE.

 

Inventori dihapuskira, jangkaan kerugian kredit yang lebih tinggi ke atas penghutang perdagangan dan peningkatan perbelanjaan penyelidikan dan pembangunan turut mempengaruhi pendapatannya.

 

Hasil suku tahunan juga susut 22.7% tahun ke tahun kepada RM130.68 juta daripada RM169.01 juta.

 

Perolehan bahagian ATE turun 59.8% kepada RM37.85 juta daripada RM94.05 juta pada 4QFY23, kesan permintaan lebih lemah daripada sektor semikonduktor-automotif, yang terjejas cabaran makroekonomi dan ketidaktentuan dasar kenderaan elektrik dalam pasaran barat.

 

Firma penyelidikan itu menyemak turun unjuran pendapatan FY25-FY26 sebanyak 6% dan 11% bagi mencerminkan pendapatan yang lemah daripada segmen automotif.

 

"Kami mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM4.81 sesaham," katanya.  - DagangNews.com