Axis-REIT jual gudang di Petaling Jaya kepada Basic Eight berharga RM24.2 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Axis-REIT jual gudang di Petaling Jaya kepada Basic Eight berharga RM24.2 juta

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 27 Feb - Axis Real Estate Investment Trust (Axis-REIT) akan menjual sebuah gudang yang dilengkapi dengan pejabat dua tingkat di Petaling Jaya, Selangor, kepada Basic Eight (M) Sdn Bhd pada harga RM24.2 juta.

 

Axis-REIT berkata, cadangan penjualan hartanah tersebut selaras dengan objektif pelaburan syarikat.

 

"Selepas 12 tahun memiliki hartanah ini, ini adalah masa yang tepat untuk menjualnya sebagai sebahagian daripada strategi pengurusan portfolio aktif kami.

 

"Hartanah ini adalah bangunan 42 tahun yang digunakan sebagai pusat sukan. Harga jualannya lebih tinggi daripada penilaian," katanya dalam satu pemfailan kepada Bursa Malaysia.

 

Axis-REIT memperoleh aset berkenaan yang mempunyai keluasan tanah sekitar 66,182 kaki persegi, pada Oktober 2012 dengan harga RM12 juta.

 

Axis-REIT berkata, keuntungan bersih RM9 juta daripada penjualan itu akan diberikan sebagai agihan tambahan sebanyak 0.44 sen setiap unit kepada pemegang unit selepas penyelesaian, tanpa dikenakan cukai.

 

"Baki daripada hasil penjualan akan digunakan untuk membayar pembiayaan sedia ada," jelasnya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif/Pengarah Eksekutif Axis REIT Managers Berhad, Leong Kit May berkata, dengan harga penjualan yang wajar, pihaknya percaya penjualan itu akan membantu mengoptimumkan prestasi keseluruhan portfolio kumpulan.

 

"Pelupusan ini membolehkan kami memperbaiki portfolio dan menguruskan modal dengan lebih baik. 

 

"Dengan menggunakan hasil jualan untuk melabur dalam aset yang memberikan pulangan lebih tinggi, kami komited memberikan pulangan yang stabil kepada pemegang unit kami," ujarnya. - DagangNews.com