AWC raih kontrak pengurusan bangunan 5 tahun bernilai RM99.12 juta dari TM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AWC raih kontrak pengurusan bangunan 5 tahun bernilai RM99.12 juta dari TM

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 30 Okt – Ambang Wira Sdn Bhd, anak syarikat AWC Berhad meraih kontrak bernilai RM99.12 juta daripada TM Technology Services Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Telekom Malaysia Berhad, bagi menyediakan perkhidmatan pengurusan integrasi (IFM) bangunan milik TM.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, AWC berkata, Ambang Wira telah menandatangani dan menerima Surat Anugerah (LoA) kerja-kerja berkaitan di Pusat Data dan Bangunan TM di TM Central 1.

 

“Kontrak itu adalah untuk tempoh lima tahun dari 1 November 2025 hingga 31 Oktober 2030. 

 

“Skop perkhidmatan merangkumi operasi, penyelenggaraan serta sokongan penuh bagi bangunan milik TM tersebut,” katanya.

 

Menurut AWC, itu dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan serta aset bersih Kumpulan AWC sepanjang tempoh kontrak.

 

Tiada pengarah atau pemegang saham utama AWC atau individu berkaitan mempunyai kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam kontrak ini. 

 

Lembaga Pengarah AWC menegaskan bahawa kontrak ini adalah untuk kepentingan terbaik syarikat dan seiring dengan perniagaan biasa syarikat.

 

Projek terbaharu ini juga adalah langkah pertama AWC dalam pengurusan infrastruktur kritikal berasaskan teknologi.

 

Presiden dan Pengarah Urusan AWC, Ahmad Kabeer berkata, kejayaan ini juga membuktikan keupayaan kumpulan mengintegrasikan kepakaran kejuruteraan dengan kemahiran pengurusan fasiliti, sejajar dengan strategi pertumbuhan nilai tambah tinggi kumpulan.

 

“Kami juga gembira melihat bahagian fasiliti mencatatkan momentum kukuh seiring dengan segmen alam sekitar dan kejuruteraan. 

 

“Ini mencerminkan perkembangan positif Kumpulan setelah berjaya memperoleh kontrak oleh bahagian fasiliti beberapa hari lalu dan satu lagi oleh bahagian alam sekitar bulan lalu.

 

“Dengan ini, jumlah kontrak yang diumumkan bagi FY26 kini mencecah kira-kira RM194 juta,” katanya.

 

Setakat akhir Jun 2025, buku pesanan AWC berjumlah RM597 juta, tidak termasuk tiga kontrak terbaharu yang diumumkan bagi FY26. - DagangNews.com