AutoCount dapat kelulusan pindah ke Pasaran Utama Bursa Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AutoCount dapat kelulusan pindah ke Pasaran Utama Bursa Malaysia

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 6 Feb – AutoCount Dotcom Berhad telah menerima kelulusan untuk memindahkan senarai sahamnya dari Pasaran ACE ke Pasaran Utama Market Bursa Malaysia.

 

AutoCount berkata pemindahan itu adalah bukti peningkatan signifikan dalam status korporat syarikat, hanya tiga tahun selepas disenaraikan pada Mei 2023.

 

Pemindahan ke Pasaran Utama dijangka memperluas pangkalan pelabur syarikat, terutama kalangan pelabur institusi yang biasanya tidak dibenarkan melabur di Pasaran ACE. 

 

Pengurus Besar AutoCount, YT Choo berkata langkah ini adalah pengiktirafan terhadap perjalanan pertumbuhan syarikat.

 

“Kami menunjukkan prestasi kewangan yang kukuh. Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2025, AutoCount mencatat pendapatan sebanyak RM61.38 juta dan keuntungan selepas cukai RM27.41 juta, meningkat 90.9 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

 

“Peningkatan keuntungan ini didorong oleh permintaan yang tinggi terhadap perisian digital dan e Invois dalam kalangan perniagaan kecil dan sederhana di Malaysia. 

 

“Syarikat turut mengekalkan aliran tunai yang sihat dan komitmen untuk memberikan nilai kepada pemegang saham,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Jelasnya penyenaraian di Pasaran Utama akan meningkatkan profil korporat AutoCount dan memberi peluang kepada syarikat untuk bersaing dengan syarikat blue-chip di Bursa Malaysia. 

 

AutoCount menumpukan usaha pada strategi perniagaan yang menyasarkan pendigitalan perniagaan di Malaysia. 

 

“Permintaan untuk platform awan dan perisian e-invois syarikat dijangka terus meningkat seiring pelaksanaannya secara berperingkat,” katanya.

 

Syarikat itu membangunkan semua perisian secara dalaman dan menjualnya melalui pengedar sah serta pasukan jualan dalaman. 

 

Produk AutoCount merangkumi penyelesaian kewangan asas seperti akaun, gaji dan sistem POS.

 

Sejak penubuhannya, AutoCount telah menjual kira-kira 70,000 lesen perisian untuk kegunaan lebih 240,000 perniagaan di Malaysia dan Singapura. - DagangNews.com