KUALA LUMPUR 18 Feb - Hospital swasta terbesar di Kedah, Aurelius Hospital Alor Setar (AHAS), dibuka secara rasmi bagi memenuhi permintaan yang tinggi terhadap perkhidmatan perubatan berkualiti tinggi di utara negara.
Mempunyai kapasiti penuh sebanyak 250 katil, AHAS menawarkan sebanyak 21 pakar perunding merangkumi 15 bidang kepakaran, menjadikannya sebagai pusat penjagaan kesihatan tertiari yang menampilkan pusat kecemerlangan kardiologi, ortopedik dan tulang belakang, kesihatan wanita dan kanak-kanak serta neurosains.
Menurut Aurelius Healthcare, dengan kemudahan perubatan serba lengkap, AHAS setanding dengan pusat perubatan tertiari swasta lain di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

"Bagi memastikan tahap rawatan tertinggi, Aurelius Healthcare telah membuat pelaburan besar dalam kemudahan dan teknologi perubatan tercanggih untuk hospital yang dibina mengikut piawaian penjagaan kesihatan antarabangsa Joint Commission International (JCI) ini," katanya dalam satu kenyataan selepas pelancaran hospital berkenaan, baru-baru ini.
AHAS dilancarkan oleh Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.
Berangkat sama, Tunku Mahkota Kedah Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin dan Tunku Puan Mahkota Kedah Che Puan Nur Julie Ariff.
Turut hadir Pengerusi dan Pengarah Pengurusan Kumpulan Aurelius Healthcare, Datuk Amir Firdaus Abdullah.

Amir Firdaus berkata, pelancaran AHAS merupakan detik penting dalam sektor penjagaan kesihatan di utara Malaysia dengan matlamat menyediakan perkhidmatan perubatan bertaraf dunia yang boleh dicapai oleh semua pesakit tanpa perlu berjalan jauh.
"Selain menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang cemerlang, kami juga komited dalam mewujudkan peluang pekerjaan, menyokong ekonomi tempatan dan menyumbang kepada kesejahteraan komuniti menerusi program pendidikan dan kesedaran kesihatan.
"Dengan adanya AHAS, pesakit kini tidak lagi perlu pergi ke Kuala Lumpur atau Pulau Pinang untuk mendapatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan tertiari," katanya dalam satu kenyataan.
AHAS ditubuhkan menerusi kerjasama strategik antara Aurelius Healthcare dan Teguh Harian.
Navis Capital Partners, pemegang saham utama Aurelius Healthcare, memainkan peranan penting menyokong pertumbuhan dan pelaburan kumpulan itu dalam kemudahan perubatan berkualiti tinggi.

Rakan Pengurusan Bersama Navis Capital Partners, Dato’ Sri Nicholas Bloy berkata, pihaknya berbesar hati kerana dapat menyokong Aurelius Healthcare dalam usaha untuk menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan bertaraf dunia yang berfokuskan pesakit di seluruh Malaysia dan Asia Tenggara.
"Dengan AHAS, kami meneruskan misi kami untuk mengembangkan akses kepada perkhidmatan perubatan berkualiti tinggi, menyepadukan teknologi canggih dan memupuk inovasi bagi meningkatkan hasil rawatan pesakit," ujarnya.
AHAS turut dilengkapi dengan makmal kateterisasi vaskular hibrid (OT Cath Lab) untuk prosedur jantung dan vaskular lanjutan, pengimbas CT berkuasa kecerdasan buatan (AI) untuk diagnosis yang lebih pantas dan tepat dan sistem X-ray DDR Challenger X terbaharu yang terdapat hanya dua unit di Malaysia.
Ia turut menampilkan unit rawatan rapi (ICU) terbesar dalam kalangan pusat perubatan swasta di Kedah, yang dilengkapi dengan peralatan perubatan canggih.
Selain itu, sistem maklumat hospital yang bersepadu sepenuhnya memastikan pendigitalan lengkap rekod perubatan pesakit, sekali gus meningkatkan tahap kecekapan dan penjagaan pesakit.
Selain kecemerlangan perubatan, AHAS turut mengutamakan keselesaan dan kemudahan pesakit.
Hospital itu menampilkan Aurelius Signature Suite yang direka untuk memberikan pengalaman eksklusif kepada pesakit serta tahap privasi yang tinggi.

Malah, sebanyak 70% daripada keseluruhan bilik pesakit di AHAS adalah bilik perseorangan.
Selain itu, pelbagai pilihan kedai runcit dan pilihan tempat makan disediakan untuk memastikan kunjungan yang serba lancar dan menyenangkan untuk pesakit, keluarga dan pelawat. - DagangNews.com








