Asteel peroleh kontrak RM13.7 juta projek pembangunan pusat data Vantage DTC KUL22 di Selangor | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Asteel peroleh kontrak RM13.7 juta projek pembangunan pusat data Vantage DTC KUL22 di Selangor

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 21 MeiAsteel Group Berhad memperoleh kontrak bernilai RM13.7 juta bagi sistem fasad luaran, bumbung dan saliran sifonik projek pusat data (DC) Vantage DTC KUL22 di Selangor.



Kumpulan itu berkata, anak syarikat tidak langsungnya, Asteel Synergy Sdn Bhd (ASYN), meraih surat penganugerahan tender berkenaan daripada Leong Siew Weng Metal Hub Sdn Bhd pada 21 Mei 2026.


Kontrak terbaharu itu melibatkan reka bentuk, fabrikasi, pembekalan dan pemasangan panel dinding logam berpenebat luaran, sistem bumbung serta sistem saliran sifonik bagi projek berkenaan.


"Kerja-kerja ini perlu mengikut spesifikasi dan dokumen tender yang ditetapkan, manakala tempoh pelaksanaan projek itu dijadualkan selama lima bulan dari tarikh permulaan kerja," kata Asteel.


Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia menjelaskan ASYN merupakan anak syarikat milik penuh Asteel Resources Sdn Bhd, dengan kira-kira 80.36% pegangan sahamnya dimiliki oleh kumpulan itu.


Ia terlibat dalam pembuatan dan penjualan produk bumbung logam, produk keluli bersalut, penutup bumbung, perdagangan perkakasan serta bahan binaan, selain pembekalan dan pembinaan kekuda keluli.


Asteel berkata, projek itu akan memperkukuhkan lagi rekod pencapaian kumpulan tersebut dalam sektor pembinaan dan meningkatkan daya saingnya meraih projek-projek baharu pada masa hadapan.


"Dari sudut kewangan, kontrak ini tidak dijangka memberi kesan material terhadap modal saham, pegangan saham pemegang saham utama, nilai aset bersih sesaham atau nisbah penggearan," katanya.


Bagaimanapun, kumpulan tersebut menjangkakan projek tersebut akan menyumbang secara positif kepada pendapatan dan keuntungan sesaham syarikat berkenaan bagi tahun kewangan semasa.


Lembaga Pengarah Asteel berpandangan yang penerimaan projek berkenaan adalah demi kepentingan terbaik ASYN dan kumpulan secara keseluruhannya. - DagangNews.com