KUALA LUMPUR 7 Mac - Anak syarikat Asteel Group Berhad, Asteel Sdn Bhd (ASB), menandatangani perjanjian usaha sama (JV) dengan EC Excel Wire Sdn Bhd bagi projek penyimpanan, pengendalian dan penjualan besi kekuatan tinggi dan dawai rod di Sarawak.
Menurut kumpulan, kerjasama itu merupakan sebahagian daripada strategi perniagaan untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran produk keluli berkualiti tinggi berikutan permintaan yang semakin meningkat daripada syarikat pembinaan tempatan, pengeluar keluli dan pembekal perkakasan.
"Dengan ekonomi Sarawak yang semakin berkembang, permintaan terhadap besi kekuatan tinggi dan dawai rod akan terus meningkat, menjadikan kerjasama ini langkah yang tepat pada masanya," jelas Asteel Group dalam satu kenyataan.
Di bawah perjanjian tersebut, ASB akan mengembangkan rangkaian pengedaran dengan memanfaatkan kemudahan dan keupayaan logistik EC Excel Wire.
"Perjanjian ini membolehkan ASB memanfaatkan kemudahan penyimpanan dan pengedaran EC Excel Wire, memastikan pengurusan stok yang berkesan dan penghantaran yang lebih cepat kepada pelanggan di seluruh Sarawak.
"Dengan akses kepada pelbagai produk keluli, ASB dapat memenuhi keperluan pelanggan yang lebih luas, daripada kedai perkakasan kecil hingga kontraktor berskala besar," jelasnya.
Tambah Asteel Group, kerjasama berkenaan dapat memanfaatkan ekonomi Sarawak yang semakin berkembang sambil memastikan akses yang lancar kepada bahan binaan penting bagi perniagaan tempatan.
Katanya, seiring dengan usaha berterusan kumpulan untuk mengembangkan bahagian pasaran, meningkatkan kecekapan rantaian bekalan dan mendorong pertumbuhan perniagaan jangka panjang, langkah itu akan memberi kesan positif kepada pendapatan dan pendapatan setiap saham (EPS) kumpulan.
"Dengan asas yang kukuh ini, Asteel Group bersedia untuk memacu pertumbuhan yang mampan dan mencipta nilai jangka panjang untuk pemegang kepentingan," ujarnya. - DagangNews.com








