Asas dan permintaan kukuh bantu operasi Padini kekal stabil di sebalik siasatan SPRM - TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Asas dan permintaan kukuh bantu operasi Padini kekal stabil di sebalik siasatan SPRM - TA Securities

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 18 Mei - Padini Holdings Berhad (Padini) tidak menjangkakan tekanan besar terhadap aliran tunai atau modal kerja kumpulan selagi tiada akaun tambahan dibekukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menurut TA Securities.

 

Firma penyelidikan itu berkata, dalam taklimat baru-baru ini pihak pengurusan turut memberitau, operasi rantaian bekalan syarikat masih stabil dengan pembekal utama terus beroperasi seperti biasa tanpa sebarang gangguan ketara.

 

“Pengurusan turut melaporkan operasi harian perniagaan juga berjalan seperti biasa tanpa sebarang penurunan ketara dalam jumlah pelanggan akibat kes tersebut.

 

"Padini mengakui trafik pelanggan di cawangan yang bergantung kepada pelancong menunjukkan sedikit kelemahan berikutan ketibaan pelancong yang lebih rendah susulan ketegangan geopolitik semasa,” katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Sehubungan itu TA Securities, mengekalkan unjuran pendapatan Padini tanpa sebarang perubahan.

 

Firma penyelidikan itu juga mengekalkan saranan “Beli” terhadap saham Padini dengan harga sasaran disemak semula kepada RM1.90 sesaham berbanding RM2.30 sebelum ini.

 

Semakan tersebut dibuat berdasarkan sasaran gandaan harga kepada pendapatan (P/E) 10 kali bagi EPS CY27 berbanding 12 kali sebelum ini, mengambil kira ketidaktentuan jangka pendek berkaitan perkembangan siasatan SPRM yang masih berjalan.

 

TA Securities berkata, untuk jangka pendek, Padini dijangka terus berdepan sentimen pasaran yang berhati-hati susulan siasatan SPRM itu meskipun operasi harian kumpulan kekal berjalan lancar.

 

Katanya, meskipun harga saham Padini telah susut kira-kira 21% sejak awal tahun, namun ia dipengaruhi keputusan kewangan 2QFY26 yang lebih lemah daripada jangkaan serta sentimen negatif berkaitan perintah pembekuan akaun.

 

Namun begitu, firma itu berpandangan asas perniagaan teras Padini masih kukuh berdasarkan maklumat semasa dan jaminan pihak pengurusan bahawa operasi harian tidak terjejas.

 

“Kelemahan harga saham kebelakangan ini lebih banyak dipengaruhi kebimbangan sentimen jangka pendek berbanding kemerosotan prestasi operasi,” katanya.

 

Firma itu menjangkakan sentimen berhati-hati akan berterusan dalam tempoh tiga bulan akan datang sementara menunggu perkembangan lanjut siasatan SPRM.

 

Walau bagaimanapun, Padini dilihat berada pada kedudukan baik untuk terus mencatat pertumbuhan stabil dalam jangka panjang disokong permintaan pengguna domestik yang kekal berdaya tahan, kedudukan pasaran massa mampu milik serta pengalaman lebih lima dekad dalam industri peruncitan pakaian di Malaysia.

 

Selain itu, kedudukan kunci kira-kira syarikat yang sihat, penjanaan tunai yang kukuh dan rekod pembayaran dividen konsisten sekurang-kurangnya 30% dijangka terus menyokong keterlihatan pendapatan dan pulangan kepada pemegang saham.

 

Pada 24 dan 27 April 2026, Padini memaklumkan bahawa beberapa akaun bank kumpulan itu telah dibekukan oleh SPRM di bawah peruntukan Seksyen 44(1) AMLA, yang membolehkan pihak berkuasa menyekat akses kepada dana tertentu bagi tujuan siasatan.

 

Tindakan pembekuan tersebut dibuat sebagai sebahagian daripada siasatan berterusan, namun pada masa itu tiada butiran lanjut didedahkan kepada umum berkaitan skop atau punca siasatan.

 

Seksyen 44(1) AMLA memberi kuasa kepada pihak berkuasa untuk membekukan akaun yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti yang sedang disiasat, sementara siasatan dijalankan. - DagangNews.com