KUALA LUMPUR 18 Mei – Arvia Solutions Sdn Bhd bersama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya (JPWPP) memeterai satu Memorandum Persefahaman (MOU) bagi memperkenalkan inisiatif bilik darjah pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang dikenali sebagai AI Smart Classroom di sekolah-sekolah sekitar Putrajaya.
Melalui kerjasama itu, teknologi AI Smartboard serta perisian pembelajaran interaktif akan diperkenalkan secara berperingkat bagi memperkukuh kaedah pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.
Inisiatif ini bertujuan membantu guru menyampaikan pengajaran dengan lebih interaktif, visual dan berasaskan simulasi digital secara masa nyata yang akan meningkatkan kefahaman pelajar terhadap subjek yang lebih kompleks.
AI Smart Classroom membolehkan penggunaan visualisasi 3D, simulasi sains dan eksperimen maya khususnya dalam subjek seperti Matematik, Kimia dan Biologi.
Selain itu, sistem berkenaan turut dilengkapi fungsi anotasi digital, perkongsian skrin tanpa wayar serta papan putih pintar yang membolehkan interaksi dua hala antara guru dan pelajar.

Pengarah Urusan Arvia Solutions Sdn. Bhd, Nurul Ain Mohamad Khdri berkata teknologi itu direka mengikut gaya pembelajaran generasi baharu yang lebih cenderung kepada penggunaan peranti digital dan pengalaman visual.
“Pelajar hari ini hidup dengan teknologi dan gajet - itulah cara mereka belajar, bermain dan berkomunikasi. AI Smartboard membawa pengalaman yang sama ke dalam bilik darjah, menjadikan pengajaran lebih interaktif dan dekat dengan cara mereka berfikir.
“Hasilnya, pelajar bukan sekadar lebih cepat faham, malah kehadiran mereka ke kelas juga lebih terjamin kerana sesi pembelajaran menjadi lebih menarik dan mereka teruja untuk hadir,” katanya.
MOU tersebut dimeterai antara Pengarah JPWPP, Nadimin Abdul Aziz dan Pengarah Urusan Arvia Solutions Sdn Bhd, Nurul Ain di pejabat JPWPP, Putrajaya pada Isnin.
Sementara itu, JPWPP menyifatkan inisiatif tersebut sebagai sebahagian daripada usaha transformasi digital pendidikan di Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Pengarah JPWPP, Nadimin Abdul Aziz berkata inisiatif ini memberi ruang kepada guru untuk fokus kepada pelajar, bukan sekadar kepada penyediaan bahan pengajaran.
“Apabila tugas rutin seperti menyediakan rajah, eksperimen atau penjelasan menjadi lebih cekap, guru mempunyai lebih banyak masa untuk membimbing dan memahami keperluan setiap pelajar.
“Kami akan memperluas pelaksanaan ini secara berperingkat ke lebih banyak sekolah di bawah JPWPP sebagai sebahagian daripada agenda transformasi digital pendidikan,” katanya.
Pelaksanaan AI Smartclassroom akan diteruskan secara berperingkat di sekolah-sekolah terpilih, dengan maklum balas daripada guru dan pelajar digunakan untuk menambah baik pendekatan secara berterusan.
Inisiatif ini turut menjadi satu langkah awal ke arah memperluaskan integrasi AI dalam sistem pendidikan negara, selari dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia memperkukuh penggunaan teknologi AI dalam pengajaran dan pembelajaran.
Arvia Solutions Sdn. Bhd. merupakan syarikat teknologi tempatan yang menyediakan penyelesaian menyeluruh dalam bidang teknologi pendidikan dan digital, termasuk papan pintar interaktif, sistem paparan LED, papan tanda digital, kiosk layan diri pintar, podium pintar serta platform perancangan sumber perniagaan (ERP) BizCore.
Syarikat itu sebelum ini dikenali sebagai Israk Solutions dan kini beroperasi di bawah penjenamaan baharu dengan fokus kepada pembangunan penyelesaian digital, perisian sebagai perkhidmatan (SaaS) dan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk sektor pendidikan dan korporat.
Arvia beribu pejabat di Wisma Arvia, Puchong, Selangor dan telah membangunkan pelbagai penyelesaian teknologi untuk agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta organisasi swasta di seluruh negara.
Syarikat ini dilancarkan pada tahun 2025 sebagai jenama berteraskan inovasi, dengan matlamat mempercepat pembangunan produk proprietari serta penyelesaian digital berskala besar, disokong oleh kepakaran teknikal dan tadbir urus yang telah dibina sejak penubuhan Israk Solutions.- DagangNews.com








