KUALA LUMPUR 5 Mac - Arm Holdings Plc bersetuju menyediakan reka bentuk cip dan teknologi kepada Malaysia bagi tempoh 10 tahun akan datang, dalam usaha membantu negara ini melangkah lebih jauh daripada sekadar pengumpulan cip dan ke arah pengeluaran semikonduktor yang lebih bernilai.
Malaysia, yang memproses kira-kira satu persepuluh daripada semikonduktor dunia, telah menandatangani perjanjian untuk membayar syarikat United Kingdom yang dimiliki oleh SoftBank Group Corp sebanyak RM1.11 bilion dalam tempoh sepuluh tahun bagi mendapatkan pelbagai lesen dan pengetahuan berkaitan semikonduktor.
Kerajaan Malaysia merancang untuk menggunakan perjanjian itu bagi membantu syarikat tempatan bentuk cip sendiri dan menyasarkan eksport semikonduktor bernilai RM1.2 trilion menjelang tahun 2030.
Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, kerajaan mahu berpindah dari tahap pengujian dan pembungkusan cip (back-end) kepada penghasilan cip sendiri (front-end), dengan fokus untuk membina ekosistem semikonduktor yang menyeluruh.
"Dengan bantuan perjanjian ini, Malaysia akan mempercepatkan matlamat untuk menghasilkan cip sendiri dan mewujudkan 10 syarikat cip yang boleh mencapai hasil tahunan sebanyak RM89.03 bilion.
"Perjanjian ini juga boleh membantu meningkatkan Keluaran Dalam Kasar Negara (KDNK) sebanyak satu peratus," katanya dalam wawancara dengan Haslinda Amin dari Bloomberg Television, hari ini.
Malaysia sudah menjadi pusat utama untuk ujian dan pembungkusan cip, tetapi negara ini belum benar-benar terlibat dalam reka bentuk cip.
Kini, Malaysia menempatkan beberapa kemudahan pembungkusan cip untuk syarikat seperti Intel Corp, GlobalFoundries Inc dan Infineon Technologies AG.
Pengeluar peralatan cip tempatan juga sedang berusaha untuk memasuki rantaian bekalan peralatan global, dengan menarik syarikat seperti Applied Materials Inc untuk membina kilang di Malaysia.
Tahun lalu, Malaysia berjanji untuk melaburkan sekurang-kurangnya RM25 bilion bagi menyokong industri semikonduktornya.
Rafizi yang sebelum ini berharap Malaysia akan menghasilkan cip sendiri dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun lagi, kini mempercepatkan jangka masa itu kepada lima hingga tujuh tahun.
"Matlamat baharu itu dapat dipercepatkan dengan perjanjian dengan Arm, kerana membangunkan teknologi cip tempatan secara organik akan mengambil masa yang lebih lama," jelasnya.
Satu ekosistem teknologi tempatan yang pesat, yang diketuai oleh pengeluar cip tempatan, akan meningkatkan profil Malaysia di dunia yang sedang berubah dengan rantaian bekalan global.
Ia juga akan menggalakkan pembangunan proses pembuatan canggih di dalam negara.
Dengan ketidakpastian geopolitik global, penting untuk Malaysia menyokong pembuatan cip tempatan memadangkan kira-kira dua pertiga daripada eksportnya terdiri daripada produk elektrik dan elektronik.
Malaysia memulakan tahun ini dengan jangkaan ekonomi akan berkembang lebih 5% dipacu perbelanjaan dan pelaburan yang kukuh.
Namun, pegawai kerajaan semakin bimbang tentang kesan rancangan Amerika Syarikat (AS) untuk mengenakan tarif yang meluas, yang boleh menjejaskan negara yang bergantung kepada perdagangan tersebut.
Presiden AS, Donald Trump bulan lalu berkata, beliau berkemungkinan akan mengenakan tarif sebanyak 25% ke atas import kenderaan, semikonduktor dan farmaseutikal, dengan pengumuman dijangka dibuat pada 2 April 2025.
AS adalah pasaran ketiga terbesar bagi eksport semikonduktor Malaysia.
Pengenaan tarif terhadap Kanada dan Mexico baru-baru ini telah menghapuskan semua keuntungan Indeks S&P 500.
Malaysia kini menyertai negara-negara lain yang berusaha untuk membangunkan pengeluaran domestik bagi komponen yang penting untuk teknologi masa depan dan keselamatan negara.
Kekurangan cip semasa pandemik dan ketegangan perdagangan AS-China serta isu Taiwan yang menjadi pusat pengeluaran cip yang paling maju, menyebabkan banyak negara dari Jepun hingga China berusaha memperkukuhkan kemampuan pembuatan cip tempatan mereka.
Malah, AS juga sedang berusaha untuk menghidupkan semula pembuatan semikonduktor di negara mereka.
Namun, pengeluaran asas semikonduktor bukan hanya memerlukan insentif dan modal yang besar, tetapi juga bakat yang tepat dan beratus-ratus pembekal kecil yang membentuk ekosistem cip yang berdaya maju.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, sebelum ini menjangkakan pelaburan yang diluluskan hanya akan meningkat 5% tahun ini, selepas melonjak 14.9% pada tahun 2024.
Kementeriannya juga menyasarkan perdagangan akan berkembang 5%, selepas peningkatan 9% pada tahun lalu.
Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan kadar faedah utama esok, kerana ekonomi dan inflasi masih terkawal untuk masa ini.
BNM kali terakhir menyesuaikan kadar faedah pada Mei 2023 dengan kenaikan 0.25 mata asas. - DagangNews.com








