ARB catat kerugian bersih hampir RM8 juta bagi FY25 disebabkan masalah sistem komputer | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

ARB catat kerugian bersih hampir RM8 juta bagi FY25 disebabkan masalah sistem komputer

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 15 April - ARB Berhad mencatatkan kerugian selepas cukai (LAT) mencecah sebanyak RM7.99 juta bagi tahun kewangan semasa yang berakhir pada 31 Disember 2025 (FY25). 


Menurutnya dalam makluman kepada Bursa Malaysia, situasi tersebut disebabkan terutamanya oleh kerugian rosak nilai ke atas hartanah, loji dan peralatan (PPE) yang dialami oleh kumpulan itu.


Berdasarkan kepada laporan juruaudit, kerugian berkenaan melibatkan sistem komputer yang berjumlah RM12.78 juta apabila didapati tidak mampu menjana faedah ekonomi kepada syarikat pada masa depan.


"Prestasi bagi FY25 menunjukkan penurunan secara ketara berbanding kedudukan tahun kewangan 2024 (FY24) yang dapat mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM1.96 juta," jelas ARB.


Bagaimanapun, dari aspek pendapatan, kumpulan itu berjaya mencatatkan lonjakan hasil sebanyak 211.6% kepada RM308.82 juta bagi FY25, berbanding hanya RM99.11 juta pada tahun sebelumnya.


Pertumbuhan pendapatan kumpulan ini tambahnya, disumbangkan secara signifikan terutama menerusi penyediaan segmen platform sebanyak RM239.3 juta dan segmen awan iaitu kira-kira RM69.5 juta.


Melangkah ke hadapan, ARB akan terus menumpukan usaha untuk memperkukuh segmen platform, terutama rumusan berkaitan kecerdasan buatan (AI) dan robotic yang ada potensi pertumbuhan jangka panjang.


"Kumpulan turut mengeluarkan Notis Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-27 pada 15 Jun 2026, dan Lembaga Pengarah tidak mengesyorkan sebarang pembayaran dividen bagi FY25," katanya. - DagangNews.com