KUALA LUMPUR 30 April – Aquawalk Group Berhad mencatatkan peningkatan keuntungan bersih operasi berterusan sebanyak 5.4% kepada RM37.8 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (FY25).
Prestasi ini dipacu terutama oleh jumlah kehadiran pengunjung yang mencatatkan rekod tertinggi sebanyak 2.1 juta orang serta peningkatan hasil kumpulan sebanyak 8.2% kepada RM111.7 juta.
Walaupun keuntungan selepas cukai (PAT) yang dilaporkan bagi tahun kewangan 2024 adalah RM50.4 juta, angka itu merangkumi keuntungan satu kali sebanyak RM14.5 juta daripada operasi dihentikan.
"Bagaimanapun jika dibandingkan secara asas operasi berterusan, PAT kumpulan sebenarnya meningkat daripada RM35.9 juta (FY24) kepada RM37.8 juta (FY25)," maklum Aquawalk kepada Bursa Malaysia.
Kenaikan hasil kepada RM111.7 juta, berbanding RM103.2 juta pada FY24, disokong kuat oleh segmen jualan tiket yang menyumbang RM91.4 juta atau 81.8% daripada jumlah pendapatan keseluruhan.
Tambahnya, Aquaria KLCC di ibu negara mencatatkan kehadiran tahunan tertinggi dalam sejarah dengan 1.34 juta pengunjung, manakala Aquaria Phuket di Thailand pula merekodkan lebih 300,000 pelawat.
Pengerusi Eksekutif Aquawalk, Datuk Simon Foong Choong Heng dalam laporan tahunan sulung syarikat sebagai entiti tersenarai berkata, pencapaian ini juga mencerminkan daya tarikan berterusan aset.
"FY25 merupakan mercu tanda penting susulan kejayaan penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 19 November 2025, dan menyediakan platform kukuh menyokong pertumbuhan masa depan," katanya.
Kumpulan itu turut mengisytiharkan dividen akhir 1.0 sen sesaham bagi FY25, yang mewakili nisbah pembayaran pulangan sebanyak 49.5%, lebih tinggi daripada dasar minimum 30% ditetapkan syarikat.
Mengulas mengenai prospek FY26, Aquawalk jelasnya, berusaha mempercepatkan inisiatif pertumbuhan melalui projek pembangunan akuarium baharu di Kota Kinabalu, Sabah dan Batu Malang, Indonesia.
Pihak pengurusan kumpulan berkenaan juga terus melabur dalam aset yang sedia ada melalui inisiatif penambahbaikan di Aquaria KLCC dan Aquaria Phuket bagi mengekalkan kunjungan secara berulang.
Setakat 31 Disember 2025, Aquawalk mengekalkan kedudukan kunci kira-kira yang kukuh dengan aliran tunai bersih dan sifar pinjaman tertunggak selepas melunaskan baki pinjaman berjangka. - DagangNews.com








