KUALA LUMPUR 18 Mac – Aquawalk Group Berhad melalui anak syarikat milik penuhnya, Aquawalk KK Sdn Bhd menandatangani perjanjian sewa selama 30 tahun dengan Jesselton Docklands 1 Sdn Bhd untuk tapak seluas 73,054 kaki persegi di The Bedrock, Jesselton Docklands dekat Kota Kinabalu, Sabah.
Perjanjian ini adalah untuk pembangunan dan pengendalian sebuah akuarium baharu yang akan dinamakan Aquaria KK.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Aquawalk berkata projek ini adalah usaha pertama Kumpulan di Sabah dan merupakan sebahagian daripada strategi pengembangan serantau syarikat.
Sebelum ini, Aquawalk mengendalikan Aquaria KLCC di Kuala Lumpur, Aquaria Phuket di Thailand, serta memiliki 40 peratus pegangan dalam Jakarta Aquarium & Safari.
Pengerusi Eksekutif Aquawalk, Datuk Simon Foong berkata peluasan operasinya ke Sabah memperkukuh kedudukan syarikat dalam industri tarikan marin dan membolehkan jenama mereka berkembang di pasaran pelancongan yang sedang meningkat.
“Lokasi di tepi laut The Bedrock dijangka menjadi platform ideal untuk menjadikan Aquaria KK sebagai mercu tanda pelancongan utama di Sabah,” katanya.
Jesselton Docklands merupakan pembangunan semula pelabuhan seluas 35 ekar yang terletak di pusat perniagaan Kota Kinabalu dengan anggaran nilai pembangunan kasar sekitar RM4.2 bilion.
Pembangunan ini dijangka merangkumi terminal kapal persiaran antarabangsa, terminal feri, hotel, kediaman, kawasan budaya, dan zon komersial.
Aquaria KK dijangka menelan kos pembangunan sebanyak RM70.5 juta dan disasarkan siap menjelang 2029.
Pembiayaan projek ini akan menggunakan sebahagian daripada hasil IPO sebanyak RM39.6 juta, manakala baki kos akan ditampung melalui dana dalaman dan, jika perlu, pinjaman bank.

Pada awalnya, projek ini dirancang sebagai usaha sama 60:40, dengan Aquawalk memegang 60 peratus ekuiti. Namun, selepas penilaian lanjut, syarikat memutuskan untuk melaksanakan pembangunan ini secara milikan penuh bagi memudahkan pelaksanaan dan mengekalkan kawalan operasi sepenuhnya.
Aquawalk Group berada pada kedudukan kewangan yang kukuh untuk projek ini. Sehingga 31 Disember 2025, syarikat mencatatkan jumlah tunai RM180.9 juta dan tiada pinjaman tertunggak.
Aliran tunai operasi bersih untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 ialah RM50.4 juta, menunjukkan kemampuan syarikat menyokong pelaburan ini dengan selesa.
Dengan keluasan binaan 73,054 kaki persegi, Aquaria KK dijangka setanding dengan Aquaria KLCC yang menerima lebih satu juta pengunjung setiap tahun.
Menggunakan model operasi yang telah terbukti, oceanarium baharu ini dijangka menarik kira-kira 360,000 pengunjung setahun.
Pertumbuhan pelancongan di Sabah, terutamanya dari pasaran antarabangsa, disokong oleh peningkatan sambungan udara terus dari bandar utama serantau.
Beliau berkata faktor ini dijangka menyokong permintaan dan kejayaan projek Aquaria KK di Kota Kinabalu.
“Aquaria KK dijangka meningkatkan asas pendapatan berulang syarikat dan memperkukuh keterlihatan pendapatan jangka panjang.
“Dengan pengalaman Aquawalk dalam mengendalikan tarikan marin bertaraf dunia, kami yakin dapat menyediakan pengalaman pengunjung yang menarik dan menjadi destinasi yang popular di Sabah dan Malaysia amnya,” katanya. - DagangNews.com








