KUALA LUMPUR 29 Mei - Apex Equity Holdings Bhd bercadang melaksanakan penempatan persendirian sehingga 10% daripada jumlah saham terbitannya bagi tujuan mengumpul dana untuk pengembangan perniagaan, khususnya dalam segmen perniagaan pinjaman wang.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, cadangan tersebut melibatkan penerbitan sehingga 21.36 juta saham baharu yang mewakili tidak melebihi 10% daripada jumlah saham terbitan syarikat setakat tarikh rujukan.
Harga terbitan saham berkenaan akan ditentukan kemudian oleh lembaga pengarah selepas memperoleh kelulusan berkaitan, dengan mengambil kira keadaan pasaran semasa serta keperluan penyenaraian Bursa Malaysia.
Syarikat berkata, harga penempatan dijangka ditetapkan pada diskaun tidak melebihi 10% daripada purata harga wajaran volum (VWAMP) lima hari dagangan saham Apex sebelum tarikh penetapan harga.
Berdasarkan harga indikatif RM0.659 sesaham, penempatan persendirian itu dijangka menjana hasil kasar sekitar RM14.07 juta, selepas mengambil kira diskaun kira-kira 9.85% berbanding VWAMP lima hari saham pada RM0.731.
Apex berkata, cadangan tersebut akan dilaksanakan di bawah mandat am yang telah diluluskan pemegang saham pada Mesyuarat Agung Tahunan ke-35 pada 27 November 2025, yang membenarkan penerbitan saham baharu sehingga 10% daripada jumlah saham terbitan.
Selaras dengan itu, pemegang saham turut bersetuju mengetepikan hak keutamaan (pre-emptive rights) bagi membolehkan penerbitan saham baharu kepada pelabur yang dikenal pasti.
Syarikat menjelaskan, penempatan persendirian itu boleh dilaksanakan dalam satu atau beberapa tranche dalam tempoh enam bulan selepas kelulusan Bursa Malaysia Securities Berhad, tertakluk kepada keadaan pasaran dan minat pelabur semasa pelaksanaan.
Bagi penggunaan dana, kira-kira RM13.52 juta daripada hasil penempatan akan diperuntukkan untuk perniagaan pinjaman wang, manakala sekitar RM558,000 akan digunakan bagi perbelanjaan berkaitan pelaksanaan korporat tersebut.
Syarikat menjangkakan keseluruhan proses akan memberi fleksibiliti kewangan tambahan untuk menyokong pertumbuhan operasi kumpulan. - DagangNews.com








