AOB larang Ahmad Aljafree daripada jalankan audit selama setahun, denda RM50,000 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AOB larang Ahmad Aljafree daripada jalankan audit selama setahun, denda RM50,000

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Ogos - Lembaga Pemantauan Audit (AOB) Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) melarang Ahmad Aljafree Mohd Razalli, rakan kongsi Al Jafree Salihin Kuzaimi PLT daripada mengaudit mana-mana entiti kepentingan awam (PIE) atau menjadualkan dana dalam tempoh setahun mulai 30 April 2024.

 

AOB berkata, selain daripada larangan terhadap Aljafree, pihaknya juga telah mengenakan denda sebanyak RM50,000. 

 

"Aljafree merupakan rakan kongsi tugasan pelanggan syarikat awam tersenarai (PLC) untuk tahun kewangan berakhir 30 Jun 2020 dan 30 Jun 2021.

 

"Dia telah gagal mematuhi Piawaian Pengauditan Antarabangsa (ISA) yang berkaitan dalam bidang pelarasan tahun sebelumnya, hartanah, loji dan peralatan, baki pembukaan dan penyatuan," katanya dalam satu kenyataan.

 

Aljafree telah membuat rayuan kepada SC terhadap penalti yang dikenakan AOB namun dia tidak membuat rayuan terhadap larangan yang dikenakan.

 

SC menolak rayuan tersebut dan mengesahkan keputusan AOB mengenai penalti monetari. - DagangNews.com