Aneka Jaringan peroleh dua subkontrak RM95 juta projek sambungan Lebuhraya NPE & apartmen 50 tingkat di Seputeh | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Aneka Jaringan peroleh dua subkontrak RM95 juta projek sambungan Lebuhraya NPE & apartmen 50 tingkat di Seputeh

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 17 Mac – Aneka Jaringan Holdings Bhd, meraih dua kontrak dengan nilai gabungan RM95.65 juta bagi kerja-kerja projek sambungan Lebuhraya New Pantai Expressway  (NPE) serta pembangunan apartment di Seputeh.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata surat anugerah (LOA) pertama diterima daripada IJM Construction Sdn Bhd bagi kerja cerucuk dan penggerudian  untuk Pakej 1 (Seksyen 1 & 2A) projek sambungan lebuh raya tersebut.

 

“Kerja-kerja itu akan dilaksanakan mengikut keperluan  setiap seksyen berdasarkan garis masa penyerahan tapak yang akan dimaklumkan kelak.

 

“Bagi kerja pemasangan cerucuk projek tersebut, ia dijadualkan siap dalam tempoh 18 bulan dari tarikh pemilikan tapak bagi bahagian pertama, manakala bahagian kedua melibatkan Ramp D dari Pier D3 hingga D8 dijangka siap dalam tempoh tiga bulan dari tarikh pemilikan tapak,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Sementara itu, kerja penggerudian  dijangka dapat disiapkan dalam tempoh 20 bulan dari tarikh pemilikan tapak projek tersebut.

 

Menurut Aneka Jaringan, tarikh permulaan subkontrak ditetapkan pada 2 Mac 2026 selepas dipersetujui bersama antara syarikat dan kontraktor utama semasa rundingan akhir bagi memastikan pelaksanaan kerja projek tidak mengalami sebarang kelewatan.

 

Sementara itu, LOA kedua bernilai RM12.8 juta dianugerahkan oleh MRCB Builders Sdn Bhd bagi kerja tanah, cerucuk dan tapak konkrit besar (pile cap) di bawah cadangan projek apartmen 50 tingkat di Seputeh.

 

Ia termasuk 11 tingkat tempat letak kereta serta kemudahan lain serta kerja menaik taraf rizab landskap tebing sungai. - DagangNews.com