Aneka Jaringan fail petisyen gulung tikar terhadap Ahmad Zaki tuntut RM5.93 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Aneka Jaringan fail petisyen gulung tikar terhadap Ahmad Zaki tuntut RM5.93 juta

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 20 Ogos - Aneka Jaringan Holdings Bhd menerusi anak syarikat milik penuhnya, Aneka Jaringan Sdn Bhd, memfailkan petisyen gulung tikar terhadap Ahmad Zaki Sdn Bhd (AZSB) bagi menuntut bayaran tertunggak berjumlah RM5.93 juta.

 

Menurut pemakluman kepada Bursa Malaysia, petisyen itu difailkan di Mahkamah Tinggi Malaya pada 19 Ogos 2026 melalui peguamcara yang dilantik oleh Aneka Jaringan. AZSB merupakan anak syarikat Ahmad Zaki Resources Bhd.

 

Syarikat berkata jumlah RM5.93 juta itu merupakan bayaran yang masih terhutang oleh AZSB kepada Aneka Jaringan bagi kerja-kerja pembinaan yang dianugerahkan kepada dan telah disiapkan oleh anak syarikat berkenaan.

 

 

 

 

Petisyen tersebut akan diserahkan kepada AZSB selepas ia dimeterai oleh Mahkamah Tinggi.

 

Menurut Aneka Jaringan, tindakan penggulungan itu dibuat selepas AZSB gagal melangsaikan tuntutan tersebut walaupun notis di bawah Seksyen 466(1) Akta Syarikat 2016 telah diserahkan pada 16 Jun 2026.

 

“Lebih 21 hari telah berlalu sejak notis tersebut diserahkan, namun AZSB telah mengabaikan tuntutan untuk membayar atau melangsaikan jumlah tertunggak tersebut atau mana-mana bahagiannya, atau menyediakan jaminan atau penyelesaian yang munasabah,” katanya.

 

Aneka Jaringan berkata, selain jumlah tuntutan serta yuran guaman dan perbelanjaan berkaitan prosiding, tiada kesan kewangan lanjut dijangka terhadap kumpulan. Petisyen berkenaan juga tidak memberi kesan operasi kepada kumpulan.

 

 

 

 

 

 

Syarikat turut tidak menjangkakan sebarang kerugian lanjut susulan prosiding penggulungan tersebut.

 

Dalam pada itu, Aneka Jaringan berkata pihaknya telah mendapatkan nasihat undang-undang dan akan terus berbuat demikian bagi mendapatkan semula jumlah tertunggak berkenaan. - DagangNews.com