Ancom Nylex lantik bekas Pengerusi SC, Awang Adek sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ancom Nylex lantik bekas Pengerusi SC, Awang Adek sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif

Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 18 Feb - Ancom Nylex Bhd melantik Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif, berkuat kuasa pada 17 Februari 2025, selepas lapan bulan beliau melepaskan jawatan Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti (SC).

 

Awang Adek, 69, yang merupakan Ahli Parlimen Malaysia bagi kawasan Bachok di Kelantan selama satu penggal dari 2004 hingga 2008, telah melepaskan semua jawatannya dalam UMNO selepas Pilihan Raya Umum 2018.

 

Pakar ekonomi yang memegang ijazah doktor falsafah dalam ekonomi dari Universiti Pennsylvania, AS, itu pernah berkhidmat sebagai Duta Malaysia ke AS dan Timbalan Menteri Kewangan.

 

Beliau memulakan kerjaya pada tahun 1983 sebagai pensyarah di Universiti Sains Malaysia sebelum menyertai Bank Negara Malaysia (BNM) pada tahun 1985 dan dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Gabenor dari tahun 1998 hingga 2001.

 

Seterusnya, beliau berkhidmat sebagai Pengerusi Tenaga Nasional Bhd dari 2002 hingga 2004, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dari 2004 hingga 2006, Timbalan Menteri Kewangan dari 2006 hingga 2013, Duta Malaysia di AS dari 2014 hingga 2016 dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) dari 2017 hingga 2018.

 

Seorang daripada pemegang saham utama Ancom Nylex adalah Datuk Siew Ka Wai yang juga merupakan Naib Pengerusi Eksekutif syarikat tersebut. - DagangNews.com