KUALA LUMPUR 28 Mac - Ancaman berterusan kadar tarif dan sekatan eksport cip kecerdasan buatan (AI) berisiko menjejaskan sektor semikonduktor dalam tempoh terdekat.
Kenanga Research berkata, walaupun laporan terbaharu menyatakan, pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mungkin mengurangkan tarif timbal balik yang akan diumumkan pada 2 April 2025.
Katanya, perkara itu bagaimanapun boleh menawarkan beberapa pelepas sementara untuk sektor tersebut tetapi impak sebenar hanya akan menjadi lebih jelas apabila dasar tarif Trump dan sekatan eksport cip Ai dimuktamadkan.
"Dasar itu akan berkuat kuasa pada 15 Mei 2025 berikutan tempoh arahan 120 hari dan keadaan itu bakal menjadikan ketidakstabilan sektor itu kekal tinggi dengan sebahagian besarnya didorong sentimen berita hingga akhir separuh pertama 2025.
"Pelabur boleh menyemak semula penilaian dagangan dalam tempoh itu sebagai panduan di tengah-tengah ketidaktentuan dasar tarif semasa," katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu berkata, perang perdagangan yang dimulakan Trump semasa pentadbiran pertamanya bermula dengan pengumuman tarif 20% hingga 50% ke atas panel solar pada 22 Januari 2018.
Katanya, ia kemudian diikuti dengan tarif 25% ke atas keluli dan tarif 10% ke atas import aluminium dari semua negara pada 1 Mac 2018.
Keadaan itu diburukkan lagi dengan pengenaaan yarif bernilai AS$50 bilion hingga AS$60 bilion ke atas barangan China pada bulan yang sama.
Sebagai respon, kerajaan China mengenakan tarif ke atas 128 produk yang diimport dari AS pada 2 April 2018.
Perang tarif terus meningkat sepanjang 2018 sebelum meruncing menjelang akhir 2019.
"Memandangkan situasi turun naik yang semakin meningkat, kami percaya saranan "neutral" mencerminkan persekitaran pasaran semasa.
"Pemangkin penarafan semula termasuk pengurangan ketegangan perdagangan atau dasar sekatan eksport berkaitan AI menjadi lebih jelas," katanya. - DagangNews.com








