KUALA LUMPUR 20 Mei - Penyedia perkhidmatan kitar semula sisa industri, Analabs Resources Bhd menambah lagi pegangan dalam Malayan Banking Bhd apabila membeli saham bank itu bernilai RM31.83 juta antara 26 Februari 2025 hingga 19 Mei 2026.
Kumpulan itu berkata, pembelian berkenaan dibiayai menerusi akaun margin saham dan mencetuskan keperluan pendedahan mandatori selepas nilainya mewakili 6.51% daripada aset bersih syarikat, sekali gus melepasi ambang pengumuman 5% yang ditetapkan pihak berkuasa.
Menurut pemfailan kepada Bursa Malaysia, nilai pemerolehan tersebut turut bersamaan kira-kira 16.9% daripada permodalan pasaran Analabs sebanyak RM188.6 juta berdasarkan harga saham terakhir RM1.70 pada 12 Mei 2026.
Analabs berkata, pembelian saham Maybank itu dibuat bagi tujuan menjana pendapatan dividen serta memperoleh potensi keuntungan modal pada masa hadapan.
“Saham tersebut dibeli di pasaran terbuka pada harga semasa seperti yang disebut harga di Bursa Malaysia Securities Bhd.
“Pemerolehan ini juga dijangka tidak memberi kesan material terhadap pendapatan sesaham dan aset bersih sesaham kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 April 2025,” katanya.
Langkah terbaharu itu mengukuhkan lagi strategi pelaburan Analabs dalam saham Maybank selepas sebelum ini mengumumkan pembelian saham bank berkenaan bernilai RM30.6 juta bagi tempoh 2 September 2024 hingga 25 Februari 2025.
Dalam pemakluman berasingan kepada Bursa Malaysia, Analabs turut memaklumkan portfolio pelaburan ekuitinya mencatat tambahan pelaburan RM27.48 juta dalam sekuriti disebut harga lain yang belum diumumkan dalam tempoh 12 bulan lalu.
Jumlah tambahan itu mewakili 5.62% daripada aset bersih disatukan teraudit kumpulan.
Secara keseluruhan, kos pegangan sekuriti disebut harga Analabs setakat 19 Mei 2026 mencecah RM516.37 juta, manakala nilai buku dan nilai pasaran portfolio tersebut masing-masing berjumlah RM619.06 juta.
Perkembangan itu menunjukkan kumpulan merekodkan keuntungan belum direalisasikan sebanyak kira-kira RM102.7 juta atau pulangan 19.89% daripada keseluruhan kos pelaburannya. - DagangNews.com








