Anak syarikat Theta Edge saman Suruhanjaya Tenaga berhubung penamatan kontrak, tuntut ganti rugi khas RM8.88 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Anak syarikat Theta Edge saman Suruhanjaya Tenaga berhubung penamatan kontrak, tuntut ganti rugi khas RM8.88 juta

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 16 Mac – Theta Edge Bhd memaklumkan anak syarikat miliknya telah memfailkan tindakan undang-undang terhadap Suruhanjaya Tenaga berhubung dakwaan penamatan kontrak perkhidmatan secara tidak sah.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata anak syarikatnya, Theta Technologies Sdn Bhd, sebelum ini menandatangani kontrak dengan Suruhanjaya Tenaga pada Jun 2022 bagi menyediakan perkhidmatan tertentu.

 

“Namun, kontrak tersebut telah ditamatkan oleh badan pengawal selia berkenaan pada Mei 2025.

 

“Suruhanjaya Tenaga turut membuat tuntutan terhadap jaminan bank yang disediakan oleh Theta Technologies berjumlah RM428,186,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Menurut syarikat itu, Suruhanjaya Tenaga juga didakwa gagal menjelaskan bayaran invois tertunggak bagi kerja yang telah dilaksanakan serta kos yang ditanggung sehingga tarikh penamatan kontrak.

 

Theta Technologies berpandangan bayaran tersebut sepatutnya dibayar kerana ia melibatkan kerja yang telah disiapkan sebelum kontrak berkenaan ditamatkan.

 

Sehubungan itu, melalui tindakan undang-undang yang difailkan, Theta Technologies menuntut pengisytiharan mahkamah bahawa penamatan kontrak dan tuntutan terhadap jaminan bank itu adalah tidak sah.

 

Syarikat itu turut menuntut ganti rugi khas berjumlah RM8.88 juta yang merangkumi invois tertunggak serta bayaran balik jaminan bank, selain ganti rugi am dan ganti rugi teladan.

 

Theta Edge berkata, syarikat menjangka akan mengiktiraf susut nilai berkaitan bayaran hutang tertunggak daripada projek tersebut, namun jumlah sebenar masih dalam penilaian. - DagangNews.com