Anak syarikat PSP Energy beli kapal tangki Ryokyo Maru No 2 berharga RM5.5 juta dari Jepun | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Anak syarikat PSP Energy beli kapal tangki Ryokyo Maru No 2 berharga RM5.5 juta dari Jepun

Ryokyo Maru No 2 - Gambar Marine Traffic
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 12 Mac – PSP Energy Berhad melalui anak syarikat miliknya, PSP Marine (M) Sdn Bhd, telah menandatangani memorandum perjanjian dengan Eastern Marine Corporation dari Jepun bagi pengambilalihan sebuah kapal tangki bunker iaitu Ryokyo Maru No 2.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, PSP Energy berkata kapal tersebut dibeli daripada Kyokai Kaiun Co., Ltd dari Jepun dengan harga sebanyak JPY 222 juta, bersamaan kira-kira RM5.5 juta mengikut kadar pertukaran semasa.

 

“Transaksi ini dijangka selesai pada suku kedua 2026, dan kapal akan dihantar ke Malaysia antara 1 hingga 15 Jun 2026, bergantung kepada keadaan.

 

“Pembayaran akan dibuat dalam dua peringkat iaitu 20 peratus sebagai deposit dan baki 80 peratus sebelum penghantaran kapal,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Kapal tangki Ryokyo Maru No. 2 dibina pada tahun 2003, mempunyai kapasiti muatan kasar 2.5 megaliter dan panjang hampir 88 meter. Kapal ini mempunyai reka bentuk dwi-lapisan untuk keselamatan dan kecekapan operasi.

 

Eastern Marine Corporation ialah syarikat Jepun yang menyediakan perkhidmatan ejen kapal, pengurusan kapal, dan jual beli kapal. Syarikat ini ditubuhkan pada 1997 dengan modal berdaftar JPY 96.8 juta.

 

PSP Energy menjalankan perniagaan perdagangan dan pengedaran produk bahan api serta pelincir. Perniagaan syarikat kini dikendalikan melalui tiga kapal, iaitu PSP Grace, PSP Glory dan PSP Golden.

 

Dengan pengambilalihan kapal baru, jumlah kapal PSP Energy akan meningkat kepada empat dan kapasiti keseluruhan syarikat meningkat daripada 2.4 megaliter kepada 4.9 megaliter.

 

Langkah ini membolehkan PSP Energy mengembangkan perkhidmatan pengedaran bahan api, melayani lebih ramai pelanggan, serta meningkatkan kecekapan operasi terutamanya ketika kapal sedia ada menjalani penyelenggaraan.

 

Harga pembelian kapal dan kos pengubahsuaian yang dijangka antara RM2 juta hingga RM3 juta akan dibiayai daripada sebahagian hasil terbitan awam PSP Energy pada Disember 2025.

 

Lembaga Pengarah PSP Energy menyatakan pengambilalihan ini adalah sejajar dengan rancangan pengembangan perniagaan syarikat dan dijangka menyumbang positif kepada keuntungan serta nilai pemegang saham pada masa akan datang.

 

Syarikat menegaskan tiada pengarah, pemegang saham utama atau pihak berkaitan mempunyai kepentingan dalam pengambilalihan ini, dan transaksi dilakukan dalam urusan perniagaan biasa tanpa memerlukan kelulusan tambahan. - DagangNews.com