Anak syarikat Mulpha peroleh pendahuluan tunai RM203.8 juta bagi projek hartanah di Castle Hill, Australia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Anak syarikat Mulpha peroleh pendahuluan tunai RM203.8 juta bagi projek hartanah di Castle Hill, Australia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Jun - Mulpha International Bhd menerusi anak syarikatnya di Australia telah memperoleh kemudahan pendahuluan tunai sebanyak A$73.8 juta (RM203.83 juta) daripada National Australia Bank Ltd bagi membiayai projek pembangunan hartanah di Castle Hill, New South Wales.

 

Mulpha Marymount Pty Ltd menerima kemudahan pembiayaan tersebut atas kapasiti peribadi dan sebagai pemegang amanah kepada Mulpha Marymount Property Trust, katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Mulpha Marymount merupakan anak syarikat milik penuh Mulpha Australia Ltd, yang juga dimiliki sepenuhnya oleh Mulpha International.

 

Sebahagian besar aset dan pelaburan Mulpha International terletak di Australia, khususnya di Queensland, New South Wales dan Victoria.

 

Menurut laman web kumpulan itu, portfolionya merangkumi Hayman dan InterContinental Hayman Island Resort yang ultra-mewah, InterContinental Sydney, Sanctuary Cove dan InterContinental Sanctuary Cove Resort, Bimbadgen Estate, Norwest Business Park dan Norwest Quarter, serta Marritz Hotel dan Salzburg Apartments di Perisher.

 

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, pasaran Australia menyumbang 97.1% daripada jumlah pendapatan kumpulan sebanyak RM1.033 bilion, manakala Malaysia dan New Zealand masing-masing menyumbang 1.45%.

 

Sehingga akhir Mac 2025, jumlah pinjaman Mulpha International berjumlah RM2.37 bilion, meningkat daripada RM2.29 bilion setahun sebelumnya, manakala tunai dan setara tunainya berjumlah RM122.8 juta. - DagangNews.com