KUALA LUMPUR 16 Mac – JAKS Resources Berhad melalui anak syarikatnya, JAKS Sdn Bhd menerima surat pengesahan kontrak daripada Techkem Utilities Sdn Bhd untuk melaksanakan kerja-kerja naik taraf di Loji Rawatan Air Sg. Batu.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata kontrak tersebut bernilai RM7.04 juta dan melibatkan kerja-kerja pemulihan sistem penapisan, penggantian peralatan mekanikal dan elektrik, naik taraf sistem kawalan serta kerja-kerja lain yang berkaitan.
“Kerja-kerja ini dijangka mengambil masa 15 bulan dengan sasaran siap pada separuh pertama 2027, termasuk pembekalan, pemasangan, ujian dan pengoperasian semua sistem mekanikal dan elektrik di loji tersebut.
“Projek ini dijangka memberi sumbangan positif kepada keuntungan dan aset bersih Kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026 dan 2027,” katanya dalam makluman tersebut.
Syarikat menegaskan kontrak tersebut tidak menjejaskan struktur modal atau pemilikan saham.
Dari segi risiko, ia menyatakan bahawa kerja-kerja ini hanya melibatkan risiko operasi biasa, yang boleh dikawal melalui sistem pengurusan projek sedia ada oleh Kumpulan.
Pengarah dan pemegang saham besar Kumpulan tidak mempunyai sebarang kepentingan langsung atau tidak langsung dalam projek tersebut.
Lembaga Pengarah JRB berpendapat bahawa penerimaan kontrak ini adalah selaras dengan kepentingan terbaik Kumpulan JRB, sekaligus memperkukuhkan portfolio projek infrastruktur syarikat.
Projek ini menandakan satu lagi kejayaan JRB dalam sektor pembinaan dan naik taraf loji rawatan air, membuktikan kedudukan syarikat sebagai pemain utama dalam industri utiliti dan infrastruktur air di Malaysia. - DagangNews.com








