KUALA LUMPUR 12 Mac – Aizo Group Bhd mengumumkan anak syarikatnya yang mengendalikan sistem pembayaran elektronik memperoleh Lesen Perniagaan Perkhidmatan Wang Kelas B bagi menyediakan perkhidmatan kiriman wang daripada Bank Negara Malaysia (BNM).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Aizo berkata perolehan lesen itu menandakan kemasukan syarikat ke dalam sektor pembayaran rentas sempadan.
“Lesen perniagaan tersebut diberikan kepada Uniqa (M) Sdn Bhd yang merupakan anak syarikat milik 60% Aizo.
“Lesen berkenaan mempunyai tempoh sah selama setahun dan membolehkan Uniqa menawarkan perkhidmatan kiriman wang secara sah di bawah rangka kerja kawal selia yang ditetapkan oleh bank pusat,” katanya dalam makluman tersebut.
Syarikat itu berkata, kelulusan berkenaan merupakan langkah penting dalam strategi lebih luas kumpulan untuk mempelbagaikan perniagaan ke dalam perkhidmatan berasaskan teknologi kewangan serta mengukuhkan penglibatan dalam ekosistem pembayaran digital negara.
Tambahnya, Aizo berhasrat membangunkan penyelesaian kiriman wang yang cekap dan mematuhi keperluan kawal selia dengan memanfaatkan platform teknologi bagi memudahkan transaksi rentas sempadan yang selamat dan lancar.
Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Abang Abdillah Izzarim berkata dengan adanya rangka kerja kawal selia tersebut, syarikat merancang untuk membangunkan keupayaan perkhidmatan kiriman wang Uniqa secara berperingkat.
“Inisiatif ini mencerminkan usaha berterusan Kumpulan untuk mempelbagaikan aliran hasil dan merebut peluang yang muncul daripada pertumbuhan pesat pembayaran digital dan transaksi kewangan rentas sempadan di rantau ini.
“Dengan rangka kerja kawal selia yang sedia ada, kami berhasrat untuk membangunkan keupayaan pengiriman wang Uniqa secara progresif melalui platform teknologi dan perkongsian strategik, sambil mengekalkan piawaian pematuhan dan tadbir urus tertinggi yang diperlukan oleh BNM,” katanya.
Aizo memperoleh pegangan sebanyak 60% dalam Uniqa pada tahun 2021 dengan nilai RM2.83 juta daripada Ahmad Rahizal Ahmad Rasidi, Jamaluddin Mann dan Lui Soik Teng, manakala Jamaluddin dan Lui masing-masing mengekalkan pegangan sebanyak 20%.
Kumpulan itu sebelum ini dikenali sebagai Minetech Resources Bhd dan menjalankan perniagaan utama dalam bidang kejuruteraan awam serta pembuatan produk bitumen sebelum mempelbagaikan operasi ke sektor tenaga boleh diperbaharui dan pembangunan hartanah. - DagangNews.com








