Anak syarikat Ahmad Zaki Resources terima petisyen penggulungan berhubung pertikaian bayaran RM5.86 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Anak syarikat Ahmad Zaki Resources terima petisyen penggulungan berhubung pertikaian bayaran RM5.86 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Julai - Anak syarikat Ahmad Zaki Resources Bhd iaitu Ahmad Zaki Sdn Bhd menerima notis gulung tikar daripada Giga Engineering & Construction Sdn Bhd berhubung dakwaan tunggakan bayaran sebanyak RM5.86 juta.

 

Giga Engineering mendakwa anak syarikat milik penuh kumpulan itu, gagal melunaskan jumlah tersebut, yang mendorong kepada tindakan memulakan prosiding penggulungan.

 

AZRB, yang terlibat dalam kejuruteraan dan pembinaan, selain pembangunan hartanah dan pengurusan konsesi, membantah tuntutan tersebut dan telah mengarahkan peguamnya untuk menangguhkan serta mencabar petisyen itu, katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Syarikat tersebut merancang untuk memohon Injuksi Fortuna — satu perintah mahkamah bagi menghalang prosiding penggulungan atas alasan hutang tersebut benar-benar dipertikaikan.

 

AZRB berkata, AZSB tidak dianggap sebagai anak syarikat utama.

 

Sehubungan itu, kumpulan tidak menjangkakan sebarang kesan kewangan atau operasi akibat daripada petisyen tersebut, kecuali bayaran guaman dan perbelanjaan berkaitan.

 

Jumlah keseluruhan pelaburan AZRB dalam AZSB adalah sebanyak RM165.3 juta. - DagangNews.com