AMS Advanced Material sasar kumpul RM33 juta melalui terbitan IPO di Pasaran ACE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AMS Advanced Material sasar kumpul RM33 juta melalui terbitan IPO di Pasaran ACE

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 27 MacAMS Advanced Material Berhad melancarkan prospektus tawaran awam permulaan (IPO) bersempena dengan penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 23 April 2026.


Syarikat pakar aluminium tersebut menyasarkan untuk dapat mengumpul hasil kira-kira RM32.77 juta menerusi terbitan IPO berkenaan yang mula dibuka hari ini dan akan ditutup pada 10 April 2026.


Kumpulan pengeluar pelbagai produk keluli itu menerbitkan sebanyak 113 juta saham baharu pada harga 29 sen sesaham, mewakili 18.46% daripada modal saham diperbesarkan sebanyak 612 juta saham.


Daripada hasil itu, 24.73% akan digunakan bagi pembinaan gudang pembuatan berlesen baharu di Pulau Pinang untuk menyokong pelanggan sektor semikonduktor dan kejuruteraan berorientasikan eksport.


"Selain itu, kira-kira 21.05% pula akan diperuntukkan bagi tujuan pengembangan operasi ke dalam pembuatan produk aluminium seni bina," kata AMS Advanced Material melalui satu kenyataan hari ini.


Sementara itu, sejumlah 7.63% hasil tersebut diperuntukkan bagi penubuhan pusat pengedaran baharu di Kuantan, Pahang serta meningkatkan kecekapan penghantaran dan capaian pasaran di Pantai Timur.


Syarikat turut memperuntukkan 24.92% daripada hasil IPO untuk pembayaran semula pinjaman, manakala 8.15% akan digunakan sebagai modal kerja, dengan selebihnya bagi menampung kos penyenaraian.


IPO ini jelas AMS Advanced Material, turut melibatkan tawaran jualan sebanyak 47 juta saham sedia ada, bersamaan 7.68% daripada modal saham diperbesarkan, yang ditempatkan kepada pelabur terpilih.


Pengarah Urusannya, Keh Teng Yang berkata, kumpulan itu berkembang daripada perniagaan perdagangan kepada penyedia produk bernilai tambah tinggi dalam aluminium dan tembaga sejak ditubuh pada 2006.


“Kami ketika ini berada pada landasan kedudukan yang kukuh untuk dapat terus berkembang dengan pesat serta mampu memenuhi keperluan pelanggan industri merentasi pelbagai sektor,” katanya.


M&A Securities, yang bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan, menyifatkan IPO ini sebagai langkah strategik memperkukuh operasi dan daya saing syarikat. - DagangNews.com