KUALA LUMPUR 15 Ogos - Theta Edge Berhad melantik Timbalan Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Amrul Hisyam Alias sebagai Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) susulan peletakan jawatan Datuk Nuraslina Zainal Abidin berkuat kuasa serta-merta.
Menurut pemakluman syarikat kepada Bursa Malaysia pada Jumaat, Nuraslina meletakkan jawatan sebagai Pengarah Urusan Kumpulan dan CEO atas komitmen peribadi.
Amrul Hisyam sebelum ini memegang jawatan Timbalan Pengerusi Eksekutif Theta Edge dan menyertai Lembaga Pengarah syarikat pada Januari tahun ini.
Pelantikan beliau ke jawatan tertinggi pengurusan itu berlaku selepas Stealth Solutions Sdn Bhd muncul sebagai pemegang saham terbesar Theta Edge dengan pegangan 27.28%.
Stealth Solutions memperoleh blok saham berkenaan menerusi urus niaga perniagaan langsung pada hari yang sama Lembaga Tabung Haji melupuskan keseluruhan pegangan 27.28% dalam Theta Edge.
Amrul Hisyam merupakan pengasas dan Pengerusi Kumpulan Stealth Group of Companies, sebuah kumpulan infrastruktur telekomunikasi bersepadu secara menegak dengan pengalaman operasi lebih dua dekad di Malaysia.
Perkukuh barisan kepimpinan
Theta Edge berkata pelantikan Amrul Hisyam mencerminkan komitmen kumpulan untuk memperkukuh barisan kepimpinannya ketika syarikat terus memperluas kehadiran dalam sektor teknologi, telekomunikasi, infrastruktur digital dan projek integrasi sistem berskala besar.

Sementara itu, Nuraslina pertama kali dilantik sebagai CEO Kumpulan Theta Edge pada September 2021 sebelum memikul tanggungjawab sebagai Pengarah Urusan Kumpulan merangkap CEO pada September 2024.
Peletakan jawatannya menamatkan tempoh hampir lima tahun menerajui pengurusan kumpulan sejak dilantik sebagai CEO.
Saham Theta Edge ditutup empat sen atau 5.23% lebih tinggi kepada 80.5 sen pada Jumaat, memberikan syarikat itu permodalan pasaran RM94.33 juta. - DagangNews.com








