KUALA LUMPUR 12 Mac — Amerika Syarikat (AS) memulakan siasatan terhadap kes lebihan kapasiti dan pengeluaran dalam sektor pembuatan di 15 negara termasuk Malaysia dan Kesatuan Eropah (EU).
Pejabat Wakil Perdagangan AS (USTR) dalam kenyataan berkata, isu itu diteliti di bawah Seksyen 301(b) Akta Perdagangan 1974, dan dijangka memberi kesan kepada hubungan perdagangan global.
Siasatan itu bertujuan menentukan sama ada tindakan, dasar atau amalan negara terbabit adalah tidak munasabah atau bersifat diskriminasi, sekali gus membebankan atau menyekat perdagangan AS.
Menurut Duta USTR, Jamieson Greer, langkah ini dibuat ketika usaha perindustrian semula AS di bawah Presiden Donald Trump berdepan cabaran besar berikutan lebihan kapasiti pengeluaran global.
"Negara yang terlibat dalam siasatan ini ialah China, EU, Singapura, Indonesia, Switzerland, Malaysia, Norway, Kemboja, Thailand, Korea, Vietnam, Taiwan, Bangladesh, Mexico, Jepun dan India," katanya.
Seiring dengan pembukaan siasatan itu, USTR turut meminta rundingan rasmi dengan kerajaan ekonomi yang terlibat bagi membincangkan isu berkaitan dengan dasar dan amalan perdagangan masing-masing.
Selain itu, satu saluran maklum balas awam berhubung proses siasatan berkenaan akan dibuka bermula 17 Mac 2026 bagi membolehkan pihak yang berkepentingan untuk mengemukakan segala pandangan mereka.
Langkah tersebut jelas Greer, dilihat sebagai sebahagian daripada usaha Washington DC bagi menilai kesan lebihan kapasiti pengeluaran global terhadap daya saing industri pembuatan domestik AS.
"Di samping itu, USTR berharap siasatan ke atas isu berkenaan dapat menangani potensi sebarang gangguan kepada perdagangan antarabangsa," tambah beliau. - DagangNews.com








