KUALA LUMPUR 25 Mac - AME Real Estate Investment Trust (AME REIT) membeli tiga hartanah industri bernilai RM100.8 juta daripada penajanya, AME Elite Consortium Bhd. di Johor.
Kedua-dua pihak itu berkata, hartanah berkenaan terletak di taman industri AME Elite dengan satu daripadanya di i-Park@Senai Airport City (bernilai RM39.3 juta) dan dua lagi di i-TechValley di Southern Industrial Logistic Clusters (RM30.8 juta setiap satu).
"Hartanah yang masih dalam pembinaan ini terdiri daripada kilang satu tingkat dengan pejabat mezzanine dan bangunan sokongan, dengan jumlah keluasan boleh disewa kira-kira 296,542 kaki persegi," menurut AME REIT dan AME Elite dalam satu kenyataan bersama.
Katanya, transaksi tersebut dijangka selesai secara berperingkat dari suku ketiga 2025 hingga suku pertama 2026.
Tambah kedua-dua pihak, selepas selesai transaksi, AME Elite merancang untuk memperuntukkan sebahagian besar hasil jualan untuk pembangunan lanjut i-TechValley, serta projek dan pelaburan hartanah industri lain.
Ini termasuk pemerolehan tanah dan usaha sama, dengan perbelanjaan dijangka berlaku dalam tempoh 36 bulan selepas penyelesaian transaksi.
Ia adalah jualan hartanah industri ketiga AME Elite kepada AME REIT, selepas transaksi yang sedang berjalan melibatkan penjualan empat hartanah industri tambahan bernilai RM119.5 juta.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AME Elite, Dylan Tan Teck Eng berkata, transaksi yang dicadangkan itu secara strategik menyokong rancangan pengembangan syarikat dengan membuka nilai aset yang disewa, membolehkannya menyalurkan semula modal untuk pembangunan taman industri.
"Ia juga akan mengukuhkan asas pendapatan berulang kami melalui pelaburan dalam AME REIT," jelasnya.
Portfolio AME REIT kini terdiri daripada 38 aset industri dan berkaitan industri di seluruh Iskandar Malaysia dengan jumlah nilai pasaran sebanyak RM732.0 juta. - DagangNews.com








