Ambank luluskan pembiayaan sebanyak RM120 juta kepada Huawei, beri sokongan operasi  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ambank luluskan pembiayaan sebanyak RM120 juta kepada Huawei, beri sokongan operasi 

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 5 Feb - AMMB Holdings Bhd (AmBank) meluluskan kemudahan pembiayaan RM120 juta kepada Huawei Technologies Sdn Bhd. 

 

AmBank juga berkata, pembiayaan itu mengukuhkan lagi peranannya sebagai salah satu bank panel dan memberi sokongan kepada operasi kumpulan teknologi maklumat (IT) China di Malaysia. 

 

"Pembiayaan ini merupakan bahagian penting dalam rangka kerja AmBank yang direka untuk menyediakan sokongan pembiayaan vendor kepada Huawei," katanya dalam satu kenyataan,hari ini.

 

Inisiatif itu sejajar dengan strategi AmBank untuk menyampaikan rumusan pembiayaan rantaian bekalan menyeluruh, mengukuhkan peranannya sebagai pemboleh utama dalam transformasi digital negara.

 

Pengarah Urusan Perbankan Perniagaan AmBank, Christopher Yap berkata, kemudahan baharu itu akan menyokong komitmen berterusan bank dalam memperkasakan pemain industri utama seperti Huawei memacu kemajuan teknologi.

 

"Dengan menyokong Huawei melalui pembiayaan rantaian bekalan, kami juga menyasar untuk memudahkan penggunaan rangkaian 5G kedua, mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam ketersambungan dan inovasi," katanya.

 

Sebagai rakan kongsi yang dipercayai dalam ekosistem Huawei, sokongan AmBank menggariskan fokus bank untuk memupuk perkongsian strategik yang mencipta nilai dalam kalangan perniagaan dan memacu pertumbuhan ekonomi.

 

Melalui pembiayaan ini, AmBank bukan sahaja mengukuhkan hubungannya dengan Huawei tetapi juga mengesahkan dedikasinya bagi membolehkan kemajuan teknologi termaju melalui rumusan kewangan. - DagangNews.com