KUALA LUMPUR 14 April – Amal by Malaysia Airlines, unit Haji dan Umrah di bawah Malaysia Aviation Group (MAG), memperkukuh kedudukan dalam segmen penerbangan ibadah apabila memeterai kerjasama strategik dengan 14 agensi Umrah terkemuka di seluruh Malaysia bagi musim 1448H (Jun 2026 hingga Mac 2027).
Ketua Pegawai Operasi Amal by Malaysia Airlines, Muhammad Najmi Mansor berkata setiap agensi dipilih berdasarkan rekod kebolehpercayaan, pematuhan kepada keperluan peraturan serta keselarasan dengan standard operasi dan kualiti perkhidmatan yang ditetapkan Amal.
Menurutnya, pemilihan rakan strategik ini bertujuan memperkukuh ketelusan dalam rantaian tempahan Umrah, selain mengurangkan risiko pakej tidak sah atau bersifat spekulatif di pasaran, di samping memastikan pengalaman perjalanan jemaah lebih tersusun dan selamat.
“Bagi musim 1448H, Amal menawarkan lebih 223,000 tempat duduk penerbangan, meningkat kira-kira 10 peratus berbanding musim sebelumnya, sejajar dengan peningkatan permintaan terhadap perjalanan ibadah Umrah dari Malaysia.
“Kerjasama dengan 14 agensi tersebut membolehkan syarikat memperluaskan kapasiti operasi serta meningkatkan kecekapan pengurusan jemaah melalui penyelarasan jadual penerbangan yang lebih sistematik.
“Perkembangan ini turut disokong oleh operasi penerbangan Amal yang kini mengendalikan tiga hingga empat penerbangan harian ke Jeddah dan Madinah, berbanding hanya satu penerbangan harian ketika awal pelaksanaan perkhidmatan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya lagi, operasi mingguan turut meningkat kepada sekitar 18 hingga 22 penerbangan, berbanding kira-kira lima hingga tujuh penerbangan sebelum ini, mencerminkan pertumbuhan pesat permintaan dalam segmen Umrah.
Setakat 2025, Amal telah membawa hampir 190,000 jemaah, menunjukkan peningkatan keyakinan pasaran terhadap perkhidmatan yang ditawarkan.
Inisiatif ini turut selari dengan usaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam memperkukuh tadbir urus industri Umrah serta melindungi kepentingan jemaah Malaysia melalui pemantauan dan pengawalseliaan yang lebih ketat.
Dalam pada itu, Amal memaklumkan semua operasi penerbangan ke Timur Tengah tertakluk kepada penilaian risiko berterusan bagi memastikan aspek keselamatan, termasuk laluan penerbangan, berada pada tahap tertinggi dengan kerjasama pihak berkuasa berkaitan.
Dengan pengukuhan rangkaian rakan strategik dan peningkatan kapasiti operasi, Amal by Malaysia Airlines menyasarkan untuk terus memperkukuh kedudukan sebagai penyedia utama perkhidmatan Haji dan Umrah yang dipercayai di rantau Asia Pasifik.
14 rakan strategik tersebut ialah Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd, Dhia Travel Sdn Bhd, Glocal Travel & Tours Sdn Bhd, Hafiz Travel & Tours Sdn Bhd, In Saff Travel & Tours Sdn Bhd, KRS Travel Sdn Bhd dan Maghfirah Travel & Tours Sdn Bhd.
Selain itu ialah MKM Ticketing Travel & Tours Sdn Bhd, Qashwa Travel Sdn Bhd, Rayhar Travels Sdn Bhd, TH Travel & Services Sdn Bhd, Tiram Travel & Tours Sdn Bhd, Widad Tours & Travel Sdn Bhd dan Wira Saujana Travel & Tours Sdn Bhd. - DagangNews.com








